
Diam tak diam, dah dekat sepuluh tahun lebih dah drama ‘Gerak Khas’ ditayangkan menerusi saluran RTM. Suatu tempoh yang boleh dikatakan agak lama jugak la untuk sebuah drama untuk terus bertahan memperjuangkan satu tema yang sama di dalam rancangannya iaitu kisah tentang polis. Dulu aku minat giler cerita tu. Tetiap minggu tak miss. Ok laa ceritanya kan. Takdela membosankan sangat.
Tapi, dulu je la. Sejak dah mampu bergelar suami orang nie, entah kenapa aku dah maleh nak tengok cerita tue. Macam bosan la pulak. Ada member aku cakap, edisi ‘Gerak Khas’ yang sekarang nie banyak ulang-ulang babak je walaupun tajuknya slightly berbeza dari episod ke episod. Aku pun tak tau. Sebab dah lama sangat aku tak layan cerita tu. Sejak form 3 kalau tak silap.
Sebenarnya aku amat tertarik dengan salah satu dialog yang selalu diulang-ulang dalam cerita tu, yang aku perasan la, iaitu; “Tengok pegawai kita tu, kita buat satu kesilapan je dia dah melenting sangat-sangat. Selama nie, kejayaan-kejayaan yang selalu kita peroleh langsung tak dipujinya.”
Demikianlah respon yang selalu kita dengar oleh watak seorang inspektor polis yang baru lepas kena marah dengan pegawai atasannya sebab gagal menangkap suspek jenayah terancang yang selalunya merupakan tajuk utama sesebuah episod drama tersebut.
Terfikir gak aku, hapa ke firaun perangai pegawai dia tue? Biar betul, tak pernah bagi penghargaan langsung pada kejayaan-kejayaan yang kakitangannya kecapi? Bila sekali diorang buat silap, segala kejayaan-kejayaan yang dulunya pernah dikecapi lenyap macam tue je. Kejam namanya tu.
Seorang kawan kat sekolah dulu yang pernah memegang jawatan sebagai pengawas juga pernah memberikan komplen yang sama. Katanya, kerja jadi pengawas ni, ada banyak benda-benda baik yang golongan-golongan pengawas dah buat tapi sapa pun tak pernah kisah.
Tapi, kalau satu je kesilapan yang diorang buat, tak kira la sama ada sengaja atau tidak, satu sekolah pasti akan heboh dengan kesilapan itu kononnya pengawas sekolah tak pandai buat kerja, corrupted, salah guna kuasa dan sebagainya. Bahkan, adakalanya kesalahan yang kecil selalu dibesar-besarkan.
Gila tak fair kan. Kebaikan yang banyak begitu mudah dihapuskan dengan sedikit kesilapan. Seribu kebaikan yang kita buat, satu pun belum tentu orang kenang, tapi satu kesilapan yang kita buat itulah yang lebih orang akan kenang biarpun sudah seribu kebaikan yang telah dilakukan. Hukum alam memang begitu, kesilapan, kesalahan serta keburukan itu lebih sensasi dan lebih menarik untuk diketahui orang berbanding kebaikan.
Ambil sahaja sehelai kertas putih yang kosong, kemudian titiskan setitik dakwat hitam ditengah-tengahnya. Kemudian, tunjukkan kepada sesorang, apa yang dia nampak pada kertas itu. Pasti jawapannya, tompok hitam ditengah-tengah kertas itu yang dilihatnya sambil langsung tidak mempedulikan putih kertas yang lebih besar bahagiannya pada kertas itu berbanding tompok hitam yang dilihatnya.
Itu sebab selalu orang kata jangan berniat nak puaskan hati manusia didalam setiap tindakan kita. Sebab sikap manusia selalunya susah nak nampak hal kebaikan manusia tetapi keburukannya sahaja yang tertarik untuk diketahui. Kerana itu kita dikenalkan dengan Allah. Tuhan yang Maha Penyayang.
Sifat Zat Yang Maha Suci sungguh teramat Mulia. Bagaimana pandangan-Nya pada kebaikan dan keburukan hamba-hamba-Nya? Kerana sifatnya Yang Maha Penyayang itu Dia tidak pernah akan melupakan kebaikan yang kita pernah lakukan walaupun kebaikan itu langsung kita tidak sedar atau kita tidak sengaja melakukannya. Dia Maha Mengetahui.Dia tak lupa dan takkan lupa akan kebaikan yang pernah kita buat di atas muka bumi ini. Kerana Dia juga Yang Maha berterima kasih dan Maha bersyukur. Dia akan sentiasa mengenang dan mengingati akan kebaikan dan kebajikan yang pernah kita lakukan. Sebab Dia berjanji akan membalasnya tak kira di dunia apatah lagi di Akhirat sana.
Keburukan dan kejahatan kita pula bagaimana? Keburukan-keburukan itu Dia hamparkan dengan peluang memperbaikinya kembali dengan jalan yang amat luas. Terlalu luas. Itulah Rahmat-Nya.
Sebesar gunung dosa dan kesilapan kita, seluas langit hamparan Rahmat-nya buat kita memperbetulkan semula. Sebolehnya dia mahu memberikan peluang buat hamba-hamba-Nya memperbaiki diri dan kesilapan, agar diri hamba-Nya itu tidak tercampak masuk dalam kecelakaan di dunia dan di Akhirat.
Kebaikan-kebaikan yang kita lakukan begitu banyak gunanya untuk menghapuskan segala keburukan dan kesilapan yang pernah kita lakukan. Akan tetapi, keburukan yang kita lakukan tidak akan langsung memberi kesan kepada kebaikan yang pernah kita lakukan kecuali keburukan yang terlalu melampau seperti kufur, syirik dan sebagainya.
Allah pernah memerintahkan Malaikat pencatit amalan bahawa sesuatu kebaikan yang hendak dilakukan oleh seseorang hamba mesti dicatitkan sedari dia berniat untuk melakukannya, dan digandakan lagi sebaik dia sudah benar-benar melakukannya. Akan tetapi, keburukan yang hendak dilakukan, tidak akan dicatitkan lagi di dalam buku amalan selagi belum benar-benar dilakukan biarpun sudah diniatkan.
Kerana Dia Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Dia tidak suka hamba-hamba-Nya kembali padanya dengan bekalan dosa dan keburukan yang banyak, tetapi sebaliknya Dia mahu hamba-hamba-Nya datang semula padanya dengan membawa kebaikan-kebaikan yang berlipat kali ganda. Sebab Dia kepingin benar menjemput hamba-hamba-Nya masuk ke dalam Rahmat dan kasih sayang-Nya. Hidup gembira di Akhirat sana.

Tetapi, kita yang selalu bangang dan tak pandai nak menghargai Rahmat dan kasih sayang serta kebaikan-Nya. Apatah lagi kasih sayang dan kebaikan sesama manusia. Kita pandang remeh akan hal tersebut. Selalu kita tak mempedulikan peluang yang Dia berikan untuk memperbaiki semula diri kita.
Tak hairanlah di dalam Quran Allah sudah mentioned yang manusia ni jahil. Susah nak nampak kebenaran. Susah nak nampak kebaikan, susah nak berterima kasih. Sengaja dijadikan kejahilan itu agar mereka yang berfikir sedar yang diri ini selaku manusia amatlah hina dan lemah, sentiasa memerlukan Rahmat dan kasih sayang serta pertolongan-Nya di dalam kehidupan ini.
So, takde modallah untuk rasa diri tue dah bagus sangat, riak, takbur dengan kemampuan diri sendiri. Kerana realitinya manusia nie tiada apa. Kemampuan dan kemahiran yang ada pada dirinya semua datang dari Penciptanya. Kalau tak, hiduplah diri tiada harga.
Maha Suci Allah, Zat Yang Maha Agung. Memiliki kuasa kasih sayang yang teramat indah dan mulia. Sungguh sebolehnya Dia mahu menghapuskan segala keburukan kita dan menghamparkan kebaikan demi kebaikan di hadapan kita. Namun, sudah sunnah hidup di dunia, ada hitam dan ada putihnya.
Manusia hidup dengan apa yang dipilih dan diusahakannya. Jika yang baik dipilihnya, bermacam-macam cara akan ditunjukkan buatnya untuk melangkah terus ke arah kebaikan itu. Demikian juga jalan yang buruk. Kalau itu yang dipilihnya, bermacam cara dan jalan juga akan dihamparkan buatnya untuk berjalan terus ke arah keburukan itu.
Jalan kebaikan begitu luas disediakan Tuhan. Jalan keburukan juga turut disediakan-Nya, namun diselitkan juga ruang untuk kembali memperbaiki diri. Kerana buruk dan baik itu semua di tangan kita. Kitalah jua yang memilihnya. Dan sesungguhnya, Allah senantiasa mahukan yang terbaik buat kita, cuma kita sahaja yang mahukan jalan yang merosakkan diri kita.
Ayuhlah kita kembali sedar dan bermuhasabah diri. Janganlah hidup dengan mencari redha dan rela manusia lagi. Kerana manusia itu teramat susah untuk menghargai kebaikan yang kita lakukan dan sentiasa menanti keburukan yang kita lakukan untuk disensasikan. Kembalikanlah hati ini kepada Allah. Rindu pada kasih-Nya. Mengharap benar pada keredhaan-Nya.
Sungguh, jika pandangan Tuhan pilihan kita, seteruk manapun dunia dan segala isinya menekan kita, kita pasti kuat dan bersedia menghadapinya………
1 Komentar:
Begitulah sifat dan fitrah manusia..
Post a Comment