Cerita Malam Itu...

Jun 19, 2010



Malam tu, ayah aku pulang ke rumah agak lewat. Hujung-hujung minggu ney, selalu je beliau melepak ngan member-membernya ke tempat-tempat yang kekadang aku sendiri tak paham kenapa ada orang boleh memperoleh keseronokan melepak di tempat-tempat yang sebegitu. Bukan tempat yang tak elok ek, maksud aku, padang golf.

Betul-betul tak paham apa yang best sangat main golf tue. Dulu pernah gak sekali aku join beliau hayun kayu golf tu. Pergh! Dari 50 bijik bola golf yang aku pukul, aku ingat sepuluh bijik je yang betul-betul kena. Tue pun dekat sejam baru settle. Aku main yang bahagian tutorial tue je. Tobat tanak main permainan tu dah seumur idup!

Sebenarnya, takde la lewat sangat ayah aku balik. Dalam merely nak masuk Isha’ camtue la. Tue pun kira lewat, buatnya lepas Isya’ baru sampai, mau mengamuk mak aku. Yelah, amatlah tak elok lelaki yang dah berumahtangga balik rumah lewat-lewat malam. Jadi, pengajaran utama yang aku dapat, kalau nak lepak dengan member-member sampai lewat-lewat malam, jangan kawin.

Pulangnya ayah aku malam itu bukan dengan tangan kosong. Sekali ayah aku tapau nasi beriani daa. Penang mari. Aku usha je bungkusan kat genggaman ayah aku yang banyak-banyak tu dari jauh. Approximately, sejauh lima ke sepuluh meter. Namun, aromanya sudah mampu menusuk lubang hidung aku yang macam terowong Smart ni. Layan beb.

Tambahan pulak, ayah aku nie memang pakar dalam bidang nak trace lauk-lauk mamak yang killer dekat belah pulau tu. Ada kedai yang mantop kuah Dal nya, ada pula yang hebat pada kuah dagingnya, lain-lain macam kari kepala ikan, mi mamak, tosai dan sebagainya, termasuk juga nasi beriani. Sedang aku tengah syok mengambik bau nasi beriani tersebut dari jauh, tetiba aku dikejutkan dengan sergahan ayah aku dari muka pintu.

Ayah aku memanggil aku untuk membantunya menghantar lauk-pauk tersebut ke dapur. Hapa punya anak la, boleh buat dono je bapak dia balik. Lagipun, masa tue aku tengah layan World Cup, berat sungguh nak mengangkat punggung ney beredar dari sofa di depan tv. Game pulak tengah best. Kalau ayah aku sumpah aku jadi PS3 masa tu mau jadi PS3 betul aku.

Untuk mengelakkan diri dari bergelar anak yang derhaka pulak, segera aku korbankan sebentar sedikit masa perlawanan bola sepak tersebut untuk menyahut seruan ayah aku itu. Cepat-cepat aku mencapai bungkusan nasi beriani tersebut dan berlari-lari anak aku menuju ke dapur bagai lipas kudung ataupun lipas yang baru lepas disembur racun berjenama Bygon kepadanya.

Sampai sahaja aku di dapur, mak aku sudah sedia menunggu sambil menyiapkan secawan teh dan beberapa potong buah-buahan yang mengandungi vitamin A, D, E dan K untuk ayah aku. Selepas meletakkan segala bungkusan itu di atas meja, segera aku beredar kembali ke ruang tamu untuk menonton semula perlawanan bola sepak tadi. Tapi, baru niat je nak beredar, sebelum terlaksana niat aku itu, segera mak aku menahan diri aku dari cepat-cepat blah dari dapur.

Mak aku nak suruh aku hanta segala dishes yang sedang disediakan sebentar tadi kat ayah aku di ruang tamu. Pulak dah… Nak buat tak tahu kang, tak pasal-pasal kena sumpah jadi i-phone pulak nanti. Tunggu je la aku dengan penuh kesabaran, kesedihan dan sekelumit keikhlasan. Sedang aku menunggu, tetiba terdetik di hati ini untuk menyelongkar benda yang mempunyai aroma yang menusuk lubang hidung aku kat perenggan keempat tadi. Ya! Nasi Beriani.

Mengapa aku boleh lupa perihal nasi beriani itu? Padahal nasi beriani itulah yang telah melenturkan seluruh jiwa dan raga aku sebentar tadi. Lantas, tanpa membuang masa dan membuang tebiat, segera aku mencapai bungkusan-bungkusan yang aku letakkan tadi untuk dibuka segala isinya lantas disumbat masuk ke dalam tong perut aku nie menerusi saluran esofagus.

Sebaik aku mengeluarkan sebungkus nasi beriani dari berbungkus-bungkus yang ada di dalam plastik besar itu, tetiba mak aku mencelah dengan bertanyakan akan apa yang aku cuba lakukan. Dengan sombong dan takburnya aku menyatakan hasrat di hatiku ini menerusi lisan yang fasih bahawa aku mahu membedal nasi beriani itu dengan lahapnya. Dengan penuh ketegasan dan disiplin yang tinggi mak aku menyuruh aku untuk menyimpan semula bungkusan tersebut ke tempat asalnya.

What? Apa erti semua ini? Adakah salah untuk aku membedal nasi beriani itu? Bukankah memang tujuan sebenarnya nasi beriani itu dimasak oleh chef kedai mamak itu untuk dibedal oleh anak pembelinya? Bermacam-macam persoalan bermain di dalam kepala hotak aku ni. Lantas, aku bertanya kepada mak aku, kenapa aku ditegah untuk menyapu bersih barang sebungkus nasi beriani pun?

Segera mak aku menjawab izin laluan aku itu. Katanya, lepas aku solat Maghrib tadi, aku dah bedal cekodok dekat separuh mangkuk akopal mak aku tu. Baru aku teringat, memang banyak cekodok yang aku dah makan lepas Maghrib tadi, sampai aku pun tak sedar. Yelah, tangan laju dok menyuap, mata dok tertumpu dekat game bola. Mana boleh tahan, cekodok tuu. Makanan kegemaran aku yang paling tak boleh blah sekali.

Cekodok tu merupakan salah satu cucur yang berasaskan pisang. Setelah ditumbuk pisang yang dekat sesikat itu sampai lumat, diadun pulak bersama dengan tepung, telur, gula dan garam. Kemudian digoreng dengan minyak panas sehingga hampir gelap kalernya, ditambah pulak dengan air tangan ibu.

Aduh! Tak terkata perasaannya bagaimana. I feel so alive! Namun, aku tak paham kenapa benda tue dipanggil cekodok instead of cucur pisang sebab seumur hidup aku makan cekodok tue, tak pernah terjumpa barang seekor kodok pun di dalamnya. Kes yang sama juga berlaku pada cucur badak.




Back to the story, aku pun argued la balik. Cekodok tadi tue kira tea time. Nasi beriani nie kira dinner la. Namun, terdapat sedikit kecacatan pada argument aku itu memandangkan aku sendiri pun dah terasa mengah dah sebab memang banyak betul cekodok yang aku telan tadi. Tapi, nafsu ini menjerit sekuatnya kerana menginginkan nasi beriani itu.

Sekeras-kerasnya mak aku melarang kehendak anaknya yang macam Orlando Bloom ni. Tambahan pulak, mak aku memang pantang kalau anak-anaknya mencekik sampai takde limit pada waktu malam, alasannya, bila perut terlampau penuh, Subuh esok kompom kantoi. Realitinya begitulah. Kalau waktu malam sebelum tido pegi sumbat perut tue dengan segala katak dengan kodok, Subuh esoknya memang lesu la jadinya.

Namun, aku tak mudah mengalah. Keinginan aku benar-benar tinggi terhadap nasi beriani itu. Aku terus melemparkan satu persatu hujah yang bagi aku mapan dan utuh untuk mengatakan bahawa nasi beriani itu layak untuk menjadi milikku pada malam itu. Tapi, semua hujah tersebut berjaya dibidas oleh mak aku dengan cool nya. Sehinggalah sampai ke hujah yang terakhir ini.

Aku katakan bahawa aku bakal menyesal andai aku tak dapat menikmati nasi beriani tersebut pada malam itu. Aku pun tak tau kenapa aku bakal menyesal kerana benda macam tu pun. Begitulah, kalau kita betul-betul nakkan suatu perkara kerana nak memuaskan keinginan nafsu, bermacam-macam jalan kita akan cuba untuk mendapatkannya termasuk juga jalan-jalan yang tak masuk akal.

Kerana nasi beriani pun nak menyesal? Mak aku ketawa kecil mendengarkan alasan budak sekolah tadika yang aku lemparkan sebentar tadi. Kata mak aku, rugilah kalau kat dunia benda-benda remeh dan berunsur keduniaan macam tue pun nak menyesal. Sebab lebih banyak perkara yang lebih besar dan utama perlu disesalkan di atas muka bumi ini. Aku cuba menangkap maksud mak aku yang sebenarnya, tapi tak tercapai akalku la pulak dan aku terus blur.

Sambung mak aku, amal ibadat yang tak banyak selama kita hidup nie yang sepatutnya kita sesalkan. Dah la tak banyak, banyak cacat celanya, tak ikhlas pulak tu. Kita selaku hamba yang lemah, mana mungkin kita mampu melaksanakan amal ibadah kepada-Nya sesempurna yang betul-betul sempurna. Siapalah di kalangan hamba-hamba-Nya yang boleh sempurna ibadahnya?

Tiada siapa yang boleh, tiada siapa yang mampu. So, itulah yang sepatutnya kita sesalkan. Kenang kembali sepuluh, dua puluh tahun hidup kita, bagaimana amal ibadah kita sehari-harian. Khusyu’ kah? Ikhlaskah? Tepatkah pada hukumnya, pada rukunnya, pada waktunya? Tiada siapa yang mampu kalau dengan sekadar iman yang kejap naik kejap turun ni.

Nabi saw sendiri dah gerenti yang umatnya pasti susah untuk menyempurnakan amal hundred percent. Kerana baginda saw tahu umatnya ini lemah. Kerana itu baginda benar-benar memohon agar Allah saw ampunkan segala dosa dan kesilapan umat baginda saw selagi nyawa belum sampai je halkum atau selagi matahari belum terbit dari arah tenggelamnya.

Janganlah ditimpakan azab buat kita seperti yang telah ditimpakan ke atas kaum-kaum Nabi yang terdahulu. Nabi saw berharap benar agar Allah swt sentiasa memberi ruang buat kita selaku umatnya untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Kerana itu Allah swt berjanji akan menghamparkan langit rahmat-Nya seluas mata memandang. Lebih luas berbanding gunung dosa yang kita himpunkan.

Semua ini kerana sayangnya baginda saw terhadap kita semua. Agar dengan rahmat Allah swt yang Maha Luas itu, legalah hati kita yang selalu terbuat dosa, yang selalu terleka di dalam beramal, yang selalu lemah dan lalai. Tak kira seteruk mana dan selemah mana pun diri kita, andai hati ini kita berjaya desak ia agar bangkit dari lena dan angan-angan, pasti Allah swt akan menghamparkan rahmat-Nya buat kita serta jalan untuk ke sana. Maha Kasihnya Allah dan besarnya kecintaan Rasulullah saw buat kita.

Itulah perkara yang sepatutnya kita sesali. Kerana peluang rahmat sentiasa terbuaka luas, namun jarang kita bersungguh-sungguh untuk merebutnya. Kita leka dengan dunia, mudah berpuas hati dengan amal ibadah yang tak seberapa, rasa aman dari azab Tuhan serta tak terasa langsung kenikmatan dari Tuhan yang lebih hakiki di Akhirat sana.

Pulak tu, nikmat yang di dunia pun tak disyukuri, tak cukup dengan satu gunung emas, nak gunung yang kedua pulak. Dah la tak bersyukur, kufur pulak dengan nikmat yang ada, guna pada jalan yang dimurkai Tuhan, berpelesaran dan sebagainya. Bukannya nak guna nikmat tue semua untuk berkhidmat semula pada Pemberi-Nya. Then, bila Tuhan duga sikit dengan cubaan-Nya atau nikmat yang ada ditarik sedikit, mulalah nak menyalahkan Tuhan serta takdir-Nya.




Nabi Ayub as dulu takde problem pun Allah swt tarik semua kebahagiaan hidupnya dari kebahagiaan dengan harta, kasih sayang keluarga dan masyarakat malah termasuk kesihatan baginda selama tujuh tahun. Stayed cool je baginda dengan dugaan yang maha dahsyat tue dengan terus maintain amal ibadatnya sama seperti semasa baginda bahagia dulunya.

Malah, ditegur pulak isterinya yang meminta supaya baginda berdoa agar dikembalikan semula nikmat yang ditarik itu. Kerana bukan hak kita untuk meminta dari Tuhan akan nasib di dunia, kita cuma perlu berusaha dan berdoa memohon dari Tuhan yang terbaik. Kerana yang terbaik itu bukanlah selalunya yang terbaik di pandangan manusia. Tuhan lebih mengetahui. Tugas kita, sabar dengan kesusahan, syukur dengan kenikmatan. Yang benar kita patut harapkan dari Tuhan adalah semoga kita pulang kepada-Nya dengan hati yang benar-benar sejahtera.

Nikmat yang tak disyukuri, amal ibadah yang tak berkualiti, tidak concern kepada hati yang rosak, tak cukup lagi ke untuk kita rasa menyesal? Menyesal dengan diri sendiri. Yang begitu lemah untuk untuk menilai diri, yang tidak pandai nak menguruskan hubungan dengan Tuhan. Kat dunia nie memang la susah nak menyesal terhadap benda-benda tue semua. Esok, dah nampak Malaikat Munkar dan Nakir depan mata, baru betul-betul menyesal wa cakap lu.

Menyesal yang teramat sangat. Tiada penghujungnya pulak tu. Kalau macam nasik beriani yang aku sesali tadi tu, mungkin esok atau lusa aku akan dapat makan jugak akhirnya, maksudnya di waktu itu, tiada lagi penyesalan. Tapi, kalau di waktu roh sudah tak mampu mengawal jasad, penyesalannya tiada pengakhiran, panjang sangat. Tak cukup dengan tu, kena bedal pulak dengan dua Malaikat itu.

Pastue, bawak pulak penyesalan tu ke padang Mahsyar. Tambah perit lagi la penyesalan yang bakal ditanggung. Masa tue baru la nak menjerit meminta Tuhan pulangkan diri ini ke dunia dan berjanji nak kembali kepada rahmat-Nya. Sori la, there will be no turning back at that time. Diri kita di waktu itu adalah apa yang kita usahakan kerana-Nya di dunia dulu.

Nak tunggu masa tue ke baru nak menyesal? Menangis sampai tersembul bijik mata pun dah tak guna dah time tu. So, kat dunia nie la kita nak kena hisab semua benda tue. Menyesal dengan kelemahan diri. Bagaimanalah kalau jiwa ini diambil Tuhan pada waktu yang kita benar-benar tak bersedia? Rasa yang beginilah yang lebih membawa makna pada diri. Barulah inspired sikit nak bangunkan jiwa, perbaiki diri dan menginsafi segala kesilapan, lantas jadi hamba yang baik di atas muka bumi ni.

Ini tak, benda-benda keduniaan yang selalu disesalkan, yang selalu dirisaukan. Pasal nasik beriani yang akhirnya masuk lubang jamban tue pun nak sesalkan. Sudah-sudah laa dengan dunia ini. Ambil ia sekadar memenuhi keperluan dan syarat hidup je udah la. Bersederhana itu lebih baik kan.

Akhirnya, kembalilah aku ke ruang tamu membawa hidangan buat ayah yang tercinta sambil menyambung kembali tengok bola yang tergantung tadi. Nasi beriani tadi aku tinggalkan dengan hati yang rela tanpa ada sebarang penyesalan pun bersamanya………



0 Komentar:

Post a Comment