Dia Anugerah...

Mar 19, 2010

Kenikmatan nasik kandaq Pak Ngah Shakry petang itu tidak dapat dirasai dengan lebih berganda-ganda pabila tetiba mak aku mengajak aku pergi melawat rakannya yang baru lepas bersalin di sebuah hospital swasta. Sepatutnya selepas pekena nasik kandaq tersebut, aku akan terus balik ke rumah dan landing di atas sofa di hadapan tv untuk menghadamkan makanan tersebut yang sudah terperangkap di dalam perut.

Tambahan plak sebentar lagi rancangan feveret aku iaitu Doraemon bakal ditayangkan di saluran NTV7 kurang dari satu jam lagi. Aiseh, dilemma betul. Ikutkan hati nak refuse je ajakan tersebut. Kang tak pasal-pasal kecik hati pulak insan yang kucintai itu, mau kena cop anak derhaka aku nie di kala tu dan secara tak langsung mengharamkan diriku ini untuk mencium bau Syurga. Hoh! Amatlah tak relevan perkara itu terjadi hanya kerana aku nak menonton cerita Doraemon.

Jadi, untuk mengelakkan daripada nama aku di register masuk ke Neraka, lebih baik aku menurut sahaja kehendak mak. Lagipun mak teringin sangat nak menziarahi rakannya tu. Actually, bukanlah rakan sebenarnya, tapi kenalan rapat. Bebudak muda lagi laki bini tu, diorang pun layan mak aku macam mak diorang, so, bukan rakan kot kalau macam tu connection nya.

Aku pun sebenarnya tak pernah join mak aku pergi ziarah memana bayi yang baru lahir sebelum ni. Kira kali pertamalah tu. That’s why aku kurang berminat untuk join mak aku untuk pergi melawat kenalannya tu. Tapi nak buat macam mana, kehendak ibu, amanah besar kat dunia ni ooo.

So, bergeraklah kami beredar dari gerai nasik kandaq Pak Ngah Shakry yang bagi aku, satu-satunya gerai nasik kandaq yang terbaik di Malaysia ni. Nasik kandaq kat kedai nie memang betul-betul nasik kandaq. Dia punya kari, daging masak hitam, kuah campoq, pergghh!!! Tak boleh blah wa cakap lu. Tue pasal selalunya bila lepas melantak kat kedai tu, hati ini lebih berkenan untuk pulang terus ke rumah sambil bersantai-santai di atas sofa dengan tangan ligat menekan-nekan remote tv.


Namun, kali ini lain pula perancangannya. Perjalanan terpaksa dialih ke arah hospital bersalin swasta di Alma. Sebelum tue, kitorang singgah dulu ke kedai barang-barang keperluan bayi. Sempatlah jugak membeli souvenir sikit-sikit buat baby boy yang baru lahir pada tengahari hari itu.

Tergelak besar mak aku tatkala aku bercadang nak mencari kedai buah-buahan pada mulanya buat hadiah. Tak pernah-pernah dibuat orang pergi melawat bayi yang baru lahir bawak buah epal dengan oren. Nak buat hapa? Budak kecik tue gigi pun tadak lagi. Lawak la jugak kalau nak difikirkan balik. Nak buat macam mana, aku bukannya pernah melawat bayi.

Then, we’re continuing our journey to the hospital. State of mind aku masih tertumpu ke arah rancangan Doraemon yang bakal ditayangkan kejap je lagi. Kalau ikut timing masa tu, memang tak sempat dah la catch up cerita tu. Nak tunggu mak aku sembang lagi dengan kenalannya tu. Nak singgah Maghrib lagi. Adalah lebih baik aku lupakan sahaja episod Doraemon untuk minggu ini.

Sesampainya mak dan aku ke private hospital yang berkenaan, terus kami pergi mencari wad kenalan mak aku ditempatkan, takkan nak pergi bilik doktor pulak kan, nak buat hapa. Bila kami sampai je kat katil kenalan mak aku tu, terkejut gak la aku bila tengok si ibu muda tu. Rasanya, masa dia datang melawat mak aku kat rumah dulu dengan suami dia masa diorang baru lepas kawin tuh, bukan cun giler ke akak ni? Apsal rasa macam tak berapa nak cun je.

Namun, selepas difikirkan balik dengan akal fikiran yang waras, baru tengahari tadi je akak tu beranak. Darah pun banyak yang keluar, mesti la pucat giler. Takkan nak suruh akak tue pakai mekap pulak lepas-lepas besalin nih. Tak pernah-pernah dibuat orang. So, mak dan aku pun duduk la di kerusi yang disediakan. Aku duduk jauh sikit dari situ sebab akak tue tak bertudung time tu. Takut gak kalau-kalau dia tak selesa dengan keberadaan aku yang bukan mahramnya ni.

Hujan yang diingat sampai ke petang, rupanya panas di tengahari. Sekali ada tv la pulak kat dalam wad tue. Chantek lah! Nampak gaya aku takkan ter miss rancangan doraemon untuk minggu nie. Dalam wad tue pun ada dua orang patients je dari kuota empat katil yang disediakan. Sorang patient tu dah layan tido dah. Ok la tue. Kurang lima belas minit lagi start la cerita tu. Aku pun menunggu dengan penuh harapan.

Lagi semenet dua lagi cerita Doraemon nak start, tup-tup mak aku ajak balik. Aik, cepatnya nak balik dah. Bukan selalunya kalau nak ziarah-ziarah orang nie kena duduk lama-lama sikit ke. Rasionalnya Maghrib dah masuk, tak boleh duduk lama-lama dah. Nak kena balik cepat sikit la. Kang apa bapak aku kata pulak. Aku pun menurut sajalah kehendak mak aku tu.

Sebelum pulang, kami singgah kejap ke bilik yang menempatkan bayi yang baru lahir. Yelah, main reason lawatan tersebut adalah untuk melihat anak akak tu yang baru lahir. Nurse yang bertugas bawaklah kami berdua ke bilik yang menempatkan bayi tersebut. Bilik kaca, orang lain tak boleh masuk. Boleh tengok dari luar je. Boleh pulak macam tue ek, ntah apa punya rule la takleh tengok dalam bilik tue terus. Bila aku nampak je bayi yang baru lahir tue, MasyaAllah!

Aku tak tahu kenapa, jiwa nie rasa macam tersentuh yang amat-amat sangat tatkala melihat bayi tue. Bayi lelaki tue sihat, sempurna anggota badan, takda cacat celanya. Tapi aku nampak lebih dari seorang bayi. Benar-benar aku lihat seperti sehelai kain putih yang putih berseri langsung tak tercalit walau setitis kotoran. Comel memang lah comel, bayi mana yang tak comel. Mak aku pun gembira sangat-sangat melihat bayi tersebut segera pulang ke wad akak tadi untuk memberitahu dia yang bayinya sangat kiut. Namun, aku tetap berdiri di situ.



Sendirian aku merenung bayi itu. Apa yang aku fikir adalah this was me 20 years ago. Sangat bersih. Bersih dari noda dan dosa. Tidak mengenal apa itu kehidupan di dunia ini yang sebenar. Tidak tahu langsung akan dunia yang bakal ditempuh ini. Jiwa ini bergetar dengan kuatnya dan hanya tangisan yang mampu manifest rasa sebenarnya.

Bayi itu benar-benar tidak tahu apa-apa. Dia tidak tahu seribu satu macam ragam sebenar kehidupan ini. Jerih payah hidup bermujahadah, hidup berjuang melawan hawa nafsu, bisikan dan rayuan dunia yang menggila. Aduh! Dia benar-benar suci. Langsung tak melekat sebarang noda. Aku terus membandingkan dirinya dan aku. Sebab aku pernah jadi seperti dirinya, dan dia bakal menjadi seperti aku.

Tak henti-henti hati ini berbisik memohon perlindungan Ilahi ke atas bayi ini. Agar bayi ini dibesarkan dengan jiwa yang lebih baik dari aku. Dengan keazaman dan iltizam yang lebih baik daripada aku. Dicetuskan untuknya semangat jihad yang lebih utuh ke dalam dirinya berbanding aku, yang benar-benar sudah menyimpang jauh. Aku berdoa semoga bayi ini tak jadi seperti aku. Yang sudah terlalu banyak menzalimi diri dan orang lain. Semoga dia menjadi penyejuk mata ibu dan ayahnya, menggembirakan hati keduanya, seterusnya menjadi anak yang soleh.

Bayi ini benar-benar menyedarkan aku. Siapa aku dan apa standard aku yang sebenarnya di sisi Ilahi. Mak dan ayah dan memberikan didikan yang sewajarnya untuk membentuk aku, tapi aku lebih suka memilih jalan yang menyimpang di dalam meneruskan kehidupan ini. Aku jadi tertanya-tanya bila semua ini akan berakhir. Sungguh anak ini suatu anugerah. Yang menggembirakan ibu dan ayahnya, juga memberi kesedaran berguna buat aku.

“Jom balik!” tetiba terdengar panggilan mak aku memecah lamunanku sebentar tadi. Aku lihat mak, aku terfikir sebesar mana harapan mak pada aku bila melihat aku di usia bayi ini dua puluh tahun dahulu. Hati ini tambah bergetar dengan kuatnya. Kalau mak tahu siapa aku yang sebenarnya kini, pasti dia terlalu sedih dengan aku, pasti harapannya yang dahulu musnah berderai.

Berusaha aku menahan diri agar tak mengalirkan barang setitis air mata. Kang, banyak pulak persoalan yang timbul di benak fikiran mak aku seandainya melihat aku menangis tak tentu pasal. Lagipun, aku ni bukannya orang yang suka menangis, ego la katakan. Tue pasal hati pun keras. Dr Fadzilah Kamsah cakap orang yang mudah menangis nie hatinya lembut.

Segera aku menyahut panggilan mak. Aku tinggalkan doa buat si anak itu. Semoga Allah merahmatinya, melindunginya, dan menyayanginya, amin………


0 Komentar:

Post a Comment