I woke up yesterday morning with a feeling
of a terrible sad. Susah nak digambarkan macam mana rasa sedihnya tu. Tersangat
la tak best rasanya. Kekadang kita ingat kita mampu tanggung perkara yang kita
memang dah expect akan kenyataannya yang menyedihkan tu. Tapi, sebenarnya
perasaan yang terpaksa ditanggung tu lebih perit berbanding apa yang diandaikan
dulunya tu. Tengok, aku tulih apa ni pun dah melalut-lalut dan berbelit-belit
jadinya.
Jantung ni berdegup kencang jadinya. Tak
sangka betul sebenarnya ada perkara yang tetap kita rasa berat nak tanggung
walaupun kita sendiri dah boleh jangka akan terjadi sebelumnya. Tapi,
sebenarnya yang buat jiwa semakin sakit ni adalah kerana pohon rendang yang
dulunya ada untuk aku selalu ukir padanya segala resah dan masalah, kini sudah
tiada. Yes, im talking about you hulk! Bimbang juga macam mana nak mengharungi
hidup selepas ini tanpa keberadaan kamu. But dont worry, sooner or later i will be able to get over it...
Balik je aku dari klinik untuk medical
check-up di tengaharinya, tetiba mak panggil aku yang sorang-sorang terperap
dalam bilik. Tak habih-habih melayan kerenah hati dan perasaan yang bergelora
ni. Aku sahut panggilan mak dengan nada tak ceria. Mak pun tak tahu langsung
yang anaknya yang muka macam Jang Geun Suk nie sedang dirundung kesedihan yang
amat unusual.
Rupanya mak nak minta tolong aku pergi hantar barang-barang terpakai untuk didermakan kat sebuah rumah anak yatim yang berdekatan. Ada la sikit, kain cadar, pakaian dan sebagainya. Aku cakap ok je. Elok juga, at least aku boleh keluar sebentar jalan-jalan sambil cuba nak lupakan kerenah jiwa yang entah apa-apa ni. Lagipun tempat nak pergi ke rumah anak-anak yatim tu memang agak cantik juga pemandangannya.
Masa bawa keta tu, otak ni asyik suka-suka ati dia ja nak bercelaru. Dengan radio pun bukak lagu entah hapa-hapa. Deejay pun buat lawak syok sendiri ja. Makin tensen pulak aku jadinya. Cepat-cepat aku tutup radio tu dan buka mp3 henset lagu-lagu nasyid. Layan juga. Liriknya pun tak melalaikan. Yelah, jiwa dah susah ni la baru nak cari lagu-lagu nasyid. Masa tengah hepi dulu, seronok ja layan lagu-lagu k-pop gangnam kejadah suma tu.
Sampai je aku ke rumah anak-anak yatim tu, tak sangka pulak masa tu ramai anak-anak seumur 5 ke 6 tahun ada tengah berlari-lari kat sekeliling laman tu. Hepi je wajah diorang. Sampai je keta aku tu, mata-mata diorang semua beralih pada keta aku yang membuatkan diorang berhenti berlari-lari tadinya.
Elok aku keluar keta je, semua diorang dalam lima enam orang kalau tak silap datang mengerumuni aku. Dengan muka penuh kegembiraan, diorang datang salam dan kucup tangan aku. Adeh! Camna tah rasanya, dah la tadinya tengah sedih, sekarang ni melihatkan anak-anak yang tak ada ibu dan ayah tu datang kucup tangan aku dengan wajah yang berseri-seri, rasa nak bergenang pula air mata ni.
Aku tahan juga mata ni dari mengalirkan barang setitis pun air mata. Aku senyum. Senyum melihat keletah anak-anak tu. Nampak riang biarpun nasib mereka memang sebenarnya langsung tak sebaik nasib aku. Yang membesar di sepanjang dua puluh tahun lebih ni dengan kehadiran mak dan ayah di hadapan mata. Makin sebak pulak hati ni.
Kanak-kanak yang terakhir datang kat aku tu aku tahan kejap dia lalu terus aku tanya, “Ustaz ada?”
“Ustaz eh? Sat nak pi panggil.”
Semangat betul kanak-kanak tersebut berlari pergi ke kediaman ustaz yang menjaga diorang selama ni yang mana tak jauh pun sebenarnya dari banggunan asrama diorang tu. Kanak-kanak yang lain pegi sambung main lari-lari balik. Terhibur rasanya jiwa aku ni melihatkan keletah diorang.
Dari jauh aku tengok budak yang pegi panggil ustaznya tadi buat isyarat ‘tunggu sekejap’ kat aku sambil berdiri di hadapan pintu rumah ustaznya tu. Aku ingat dalam nak isi masa menunggu tu, elok aku pergi berjalan terus ke pintu rumah ustaz mereka tu.
Melihatkan aku yang tengah berjalan nak ke rumah ustaz tu, dua tiga orang kanak-kanak dari mereka yang sambung main lari-lari tadi tetiba ja berlari memintas aku pegi dekat member diorang yang pegi panggil ustaz mereka tu. Aku dengar je perbualan diorang.
“Ustaz mana? Awat tak panggil lagi?”
“Dah panggil dah. Sat lagi ustaz keluaq la.”
Tersenyum je aku sorang-sorang tengok
gelagat diorang. Tapi hati ni pula terharu melihat wajah mereka masing-masing.
Walaupun tak beribu dan tak berbapa, tapi, masih boleh jalani kehidupan seperti
biasa dengan gembira dan ceria. Aku di usia diorang mana ada macam ni. Takdenya
nak duduk dalam asrama dengan kawan-kawan yang rata-rata sebaya. Hanya menagih
kasih sayang dari seorang ustaz yang hanya sebagai penjaga semata-mata. Malahan
makan pakai pun terpaksa mengharap sumbangan orang ramai. Allahu Robbi! :’|
Pastinya, aku tak akan mampu membayangkan
bagaimana perasaannya berada di tempat diorang. Jiwa yang sedih tadinya kini
bertambah sedih pula bila mengenangkan yang diri ini jarang benar mensyukuri akan
nikmat kasih sayang ibu dan ayah yang Allah telah beri di sepanjang hidupku
ini. Selama ni buat tak kisah pun dengan diorang. Terkadang tu boleh pula buat
lebih kurang je hingga hilang hormat seorang anak pada orang tuanya. Sedih dan
malu pula jadinya. :’(
Tak lama lepas tu, ustaz diorang pun keluar
dari rumahnya. Muda lagi ustaz tu rupanya. Macam sebaya aku je. Kalau tua pun
mungkin tua dua tiga tahun je. Aku pun mengucapkan salam dan berjabat mesra
dengannya sambil menyatakan hasrat kedatangan aku ni iaitu untuk mendermakan
sedikit barang keperluan untuk kebajikan anak-anak yatim yang tinggal kat situ.
Tersenyum je ustaz tu sambil pada masa yang
sama meminta sekumpulan kanak-kanak yang aku lihat sejak dari sesampainya aku
tadi untuk mengangkat barang-barang yang ada dekat belakang bonet kereta tu.
Settle suma barang diangkat, terus aku beredar dari perkarangan rumah anak-anak
yatim tadi tu.
Jiwa aku bertambah sedih pula di perjalanan
pulang ke rumah berbanding perjalanan masa nak datang tadi. Aku terfikir,
kenapa mesti aku melayani kesedihan dengan cara yang melampau, sedangkan di
dunia ni lebih ramai lagi manusia-manusia yang jauh lebih kurang bernasib baik
berbanding aku.
Kanak-kanak tadi, Tuhan uji mereka untuk
membesar tanpa ibu dan ayah. Namun masih mampu tersenyum gembira sedang mereka
terpaksa membesar tanpa kasih sayang kedua ibu dan ayah. Tak seperti aku, yang
membesar sambil dapat melihat dan merasai kasih sayang kedua ibu dan ayah.
Makan pakai, tempat tinggal, wang ringgit, semuanya cukup. Biarpun tak semewah
anak-anak owner NAZA mahupun anak-anak chairman SYABAS, tapi sememangnya cukup
dan terlalu wajar untuk disyukuri. Tapi, jarang benar aku terfikir pasal ni
apatah lagi bersyukur.
Ini baru anak-anak yatim di sini. Macam
mana dengan anak-anak yatim di Palestin, Syria dan Burma. Sudah la ibu ayah
dibunuh, bekalan makan disekat, tempat tinggal pun diroboh dan dimusnah dan
lebih menyedihkan, mungkin tiada sapa yang sanggup untuk menjadi penjaga mereka
kerana masing-masing ada tanggungjawab lain yang terpaksa didahulukan. Lebih
lagilah jiwa mereka harus kuat nak hadapi ujian ini.
Tak hairanlah anak-anak yatim ni Allah swt
muliakan dan Dia perintahkan pada mereka yang mampu untuk membela nasib mereka.
Malahan, adalah satu dosa yang besar seandainya seorang Muslim itu memakan
harta anak yatim secara zalim.
Nabi SAW juga dah mengatakan yang
orang-orang yang membela dan menjaga anak-anak yatim di dunia ini akan duduk
dekat dengan baginda SAW di Akhirat
nanti. Dekatnya umpama rapatnya dua jari telunjuk dan jari hantu. Tetiba aku
teringatkan lagu Kasih Sejarak Dua Jari dari Muadz. Betapa mulianya darjat
mereka yang membantu dan mempermudahkan urusan hidup anak-anak yatim ni.
Sehingga dapat duduk bersebelahan pula dengan baginda SAW.
Dengan keadaan aku sekarang ni, memang aku
tak mampu nak membela mereka. Aku sekadar mampu mendoakan kesejahteraan mereka
dan semoga Allah Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi memelihara dan membela nasib
mereka sehingga mereka menjadi hamba-Nya yang Soleh dan bertaqwa.
Alhamdulillah, seusai ziarah aku ke rumah
anak-anak yatim itu sudah mampu menenangkan jiwa aku yang mulanya terlampau
asyik melayan kesedihan. Terima kasih wahai Allah kerana mendidik dan
mengingatkanku agar tidak terlampau berlebih-lebihan di dalam bersedih dengan memanggil
aku pergi menziarahi rumah anak-anak yatim itu.
Didikan-Mu benar-benar luar biasa dan
teramat menakjubkan caranya ya Allah.........





0 Komentar:
Post a Comment