Tengah syok layan Karoot Komedia kat tv di
kala bulan puasa ini, tetiba ja mak aku panggil suruh bersiap. Bersiap? Nak
pegi mana? Dah dekat pukul empat petang ni. Mata pun rasa nak terlelap sesangat
pula. Rupanya mak mintak tolong aku teman pegi nursery jap. Bukan nursery
tempat jaga budak-budak tu. Nursery tempat jual pokok bunga lah.
Terfikir jugak. Apsal perkataan ‘nursery’
tu ada dua maksud yang tersangat lah berbeza. Satu kedai pokok bunga, yang satu
lagi tempat menjaga bebudak umur yang tak masuk tadika lagi. Cam takde kena
mengena langsung je dua tempat tu nak disatukan dalam satu perkataan. Weird
gila. Tah penjajah yang mana la yang pegi define perkataan nursery tuh sampai
jadi dua maksud yang sesangat berbeza.
Nursery? Halamak. Dah konfem-konfem mak nak
pegi beli pokok bunga dan lepas tu aku lah yang nak kena mengangkat segala
pokok-pokok bunga dari nursery ke keta, dan dari keta turun ke halaman rumah. Adeh!
Tengah bulan puasa ni. Tak larat arh. Badan ni dah rasa lesu gila ni nak
menunggu waktu berbuka. Cuaca kat luar pulak lain macam je teriknya. Kang tak
pasal-pasal pengsan aku ni achaner?
Sebenornya, obsesi mak aku ni memang
terarah pada pokok bunga. Halaman rumah aku tu dah macam nursery kot sikit
punya banyak pokok-pokok bunga mak aku susun.
Tak pernah jemu langsung mak aku nak
mengadap pokok-pokok bunganya tu tetiap hari. Dari pagi bawak ke petang, dari
petang bawak ke senja dan dari senja bawak ke tengah malam kot. Serius! Kalau
tak ada apa nak buat dalam rumah, memang duduk luar rumah je la mak tu
mengadap, menyusun dan menghias garden rekaannya kat halaman rumah.
Aku tak kisah pun sebab sebenarnya mak tak
harap pun aku nak menolongnya menengok-nengokkan gardennya tu sebab abang
aku sebenarnya lebih boleh diharap nak tolong beliau. Asal aku tolong je, mesti
ada je pasu bunga mak aku yang pecah, jari aku yang berdarah luka terkena duri
pokok bunga kertas dan bunga mawar, dan macam-macam lagi tragedi yang tak
diingini berlaku andai aku cuba masuk campur dalam soal pengurusan halaman
rumah tu. Naik tensen jugalah mak itu hendaknya.
So, terpaksalah aku turutkan sahaja
kehendak mak aku tu yang meminta aku menemannya pergi ke kedai pokok bunga yang
sebenarnya agak jauh juga tempatnya. Dah lama jugak aku tak bawak mak aku tu
pergi kedai pokok bunga ni sebab selalunya mak pegi dengan abang aku je. Dah
semalam abang aku keluar pegi mana tah, terpaksalah aku ni ganti tugas abang
aku nak meneman mak pegi beli pokok bunga.
Maka pegilah aku dengan muka toya macam aku
sorang je yang posa kat atas muka bumi ni, meneman mak pegi beli pokok bunga.
Bawak keta pun muka serius ja. Mak aku bercakap punya la banyak sebab nak ajak
bersembang. Aku jawab sepatah dua ja konon penat nak bercakap la kan.
Jauh gak tempat nursery yang mak aku nak
pegi tu. Sebabnya ada bazar Ramadhan yang dibuka berhampiran dengan nursery tu
dan mak teringin benar nak pergi ke bazar tu sebab tak pernah pegi lagi kat
situ. Aku ikutkan je la sebab kot mana pun nak mencari rezeki nak sumbat masuk
dalam perut aku ni jugak kan. Dalam kepala hotak ni dah terbayang dah air
jagung, tembikai, asam boi. Argh! Jam masih pukul empat petang. Lambat lagi nak
berbuka ni!
Maka sampailah kami ke tempat yang nak
dituju. Mak terus berjalan masuk ke nursery tu meninggalkan aku sendirian sebab
mak memang pantang tengok kedai pokok bunga ni. Kalau la aku ni budak umur lima
tahun, memang dah kena culik dah dengan mafia Itali memandangkan aku yang dah
besar ni pun comel gila, apatah lagi kalau umur aku lima tahun, memang
berbalan-balan lah comelnya.
Aku pun masuk ke dalam nursery tu sambil
buat gaya macam Will Smith dalam cerita Men In Black. Penuh gaya, mutu dan
keunggulan. Tetiba terdengar suara maka aku memanggil aku dari jauh. Rupanya
mak nak mintak tolong aku ambik salah satu pokok bunga yang terletak agak jauh
darinya untuk aku ambil sebab mak nak tengok dengan lebih dekat. Aiseh! Will
Smith hapa angkat pasu bunga. Fail!
Aku ikutkan je la kehendak mak aku.
Harapnya Tuhan nilailah amal kebajikan aku pada mak dan dilipatgandakanlah
ganjarannya berkat Ramadhan ni walaupun takde la ikhlas mana aku buat. Kejap
pasu yang tu, kejap pasu yang ni, kejap pokok yang tu, kejap pokok yang ni,
kejap berkenan, kejap tak berkenan. Haha! Menguji keimanan dan kesabaran betul.
Aku buat jugak sebab aku sayang mak dan sebab Allah dan rasul-Nya suruh kita
sayang dan hormat mak kita.
Aku ikut je la mak aku tu dekat-dekat.
Senang, tak payah susah-susah beliau nak menjerit-jerit panggil aku kot-kot nak
mintak tolong apa-apa lagi. Sampai lah ke bahagian rumah orked nursery tu.
Pergh! Menjadi betul pokok orked kat situ. Bunga-bunga nya semua berkembang
mekar dan cantik gila. Aku jadi teruja la jugak melihatkan bunga-bunga orked
kat situ.
Kat rumah ada jugak pokok bunga orked, tapi
jarang berbunga sebab pokok bunga orked ni kena ada rumah dia sendiri. Kat
laman rumah aku tu memang tak cukup space dah nak buat rumah orked. Just buat
bumbung transparen je nak bagi pokok-pokok bunga orked tu terima gak cahaya
matahari yang bertapis. Tapi, tak menjadi jugak.
Aku pun tengok la satu-persatu bunga-bunga
orked yang ada kat situ. Macam-macam warna. Cantik gila. Sekuntum-demi sekuntum
aku cium baunya. Ada yang berbau, ada yang tak berbau. Takde bau pun takpe la.
Kecantikannya tu pun dah mendamaikan jiwa yang melihatnya.
Dalam bebanyak pokok bunga orked yang aku
tengok tu, ada satu yang aku betul-betul berkenan. Warnanya unik sangat. Ada
lima kelopak, empat darinya semua warna putih, tetiba satu jadi warna purple
lak. Oh uniknya! Lama mata aku tak beralih dari bunga orked tu. Aku belek-belek
sikit tengok warnanya. Cantiknya!.
Aku pun tanyalah mak, apasal pelik sangat
kaler bunga yang ni. Semua kelopak warna putih kecuali satu je yang warna
purple. Apek kedai tu pegi spray kaler purple ke kat satu kelopak ni? Mak jawab
simple je. “Haa, ni la kuasa Allah. Dia yang ciptakan bunga ni bagi nampak macam tu.”
Satu perkataan je aku sebut dalam hati sebagai
respon kepada kata-kata mak aku tu yang mana aku terlupa langsung nak sebut
selama aku asyik terpegun dengan kecantikan bungan orked tu. “Subhanallah!”
Pelan-pelan aku urut dada sambil istighfar.
Punya la lama aku terpegun tengok kecantikan bunga tu, sekali pun aku tak
teringat yang kecantikannya tu adalah dari kehendak Allah. Dia lah Yang Maha
Pencipta. So, aku pun tenung balik bunga orked tadi sambil tersenyum kambing
sorang-sorang lalu hati ni pun berkata, “Subhanallah, cantiknya bunga yang Kau
ciptakan ni.”
Aku pun teringat akan sifat Tuhan yang
selalu aku dengar dari penceramah-penceramah dan ustaz-ustaz. Allah tu cantik
dan sukakan kecantikan. Sesuai sangatlah dengan apa yang diciptakan-Nya ni. Dan
aku yakin, Allah lebih cantik lagi. Dia lebih cantik dan lebih indah dari apa
yang Dia ciptakan. Sebab Dia kan Zat Yang Maha Suci. Suci dari seberang
kecacatan, kelemahan dan kejelekan. Suci sebenar-benar suci. Tak langsung macam
makhluk-makhluk yang dia ciptakan.
Bunga yang cantik pun lama-lama akan pudar
warnanya, sungai-sungai yang mengalir jernih pun boleh keruh atau kering
kontang, flora dan fauna yang indah pun boleh terhapus dengan sekelip mata
dengan kehendak Penciptanya, even keanggunan wanita dan kehenseman serta kesasaan tubuh laki-laki
pun akhirnya akan menjadi makanan ulat bila ditanam masuk ke dalam liang lahad
nanti.
Tuhan tidak begitu. Tak akan binasa langsung,
dulu, kini dan selamanya. Dia yang Maha Suci, Yang Maha Cantik. Namun,
hakikatnya keindahan dan kecantikan Zat-Nya tu hanya layak dan boleh dilihat
oleh insan yang memiliki mata dan hati yang suci dan baik. Aku koreksi diri
balik. Setelah apa yang aku dah buat pada mata dan hati yang Allah beri ni,
memang tak layak langsung nak diberi kesempatan nak melihat-Nya dengan mata
kepala sendiri di Akhirat nanti.
Jauh di sudut hati ni memang aku tersangat
menyimpan harapan nak berjumpa dengan-Nya. Tapi, aku kira diri aku ni amatlah
tak layak nak diberi kesempatan yang paling berharga tu. Tersangat-sangat
berharga. Menjadi harapan setiap insan yang menyembah Dia di sepanjang
hidupnya.
Memang aku tak layak and it makes me really
sad. Tapi, mengenangkan Rahmat Allah yang Maha Luas dan Maha Indah itu, harapan
aku kembali subur. Buat aku kembali bersemangat serta tidak putus asa. Aku akan
terus berharap dan berharap kepada Rahmat dan belas kasih sayang Tuhan sehingga
hela nafasku yang terakhir. Takkan pernah berputus asa.
Tambahan pulak berkat Ramadhan ni. Kan Nabi
SAW pernah bersabda, ada dua kegembiraan yang diberikan kepada orang yang
berpuasa. Satu, kegembiraan ketika berbuka dan yang kedua, kegembiraan ketika
bertemu dengan Tuhannya.
Dengan Rahmat Tuhan, serta berkat puasa
yang aku buat ni, aku berharap sangat-sangat Allah izinkan aku untuk bertemu
dengan-Nya sebagai nak menggapai kegembiraan yang paling indah dan paling
berharga bisa aku rasai yang takkan mungkin aku rasai dalam hidup di dunia ni
walau diberikan segala macam kesempurnaan sekali pun.........



0 Komentar:
Post a Comment