Tangan Yang Di Atas...

Jan 9, 2011



Setelah sekian lama tak berjumpa dengan sorang member ni, aku segera membuat panggilan kepadanya dengan tujuan hendak mengatur perjumpaan tak rasmi di mana-mana kedai makan sekitar Shah Alam. Hampir dua bulan cuti semester berlalu membuatkan aku kepingin benar untuk bertemu dan berjumpa dengannya bertanyakan khabar.

Panggilan pun dibuat dan member aku itu menjawab panggilan aku walaupun agak lambat aku menunggu. Syukur la, hidup lagi mamat ni. Setelah bertanyakan khabar serta soalan-soalan tak penting yang ditanya sekadar nak memeriahkan perbualan, aku terus mengajaknya untuk berjumpa di sebuah kedai makan yang sering menjadi tumpuan pelajar-pelajar pusat pengajian tinggi tempat aku belajar ni.

Tak best gak sebenarnya nak bersembang panjang menerusi telefon, tambahan pulak aku yang membuat panggilan. Dah memang sah la kredit henpon aku yang burn. Makanya, adalah lebih baik aku berbual dengannya secara face to face bak kata omputih. Nak bersembang sampai subuh pun tade hal. Setelah masa dan tempat telah ditetapkan, maka kami berdua bersetuju untuk bertemu malam ini jugak.

Jam menunjukkan 9:15 pm. Dengan berbekalkan perut yang agak lapar, aku pun terus bergerak menuju ke kedai makan tempat aku dan member aku berjanji untuk berjumpa siang tadi. Sampai sahaja aku di kedai makan tersebut, aku lihat member aku tu masih belum kelihatan. Aku tak heran pun sebab member aku tu memang jenis masyarakat melayu yang benar-benar asli.

Asalnya janji pukul 9. Aku sengaja lewatkan waktu aku bergerak kepada 9:15 dengan harapan aku tak perlu menunggu dia lagi sepertimana pengalaman-pengalaman yang lepas. 9:20 aku sampai, haram batang hidung dia pun aku tak nampak. Panggilan telefon pun segera dibuat dan jawapan aku terima juga sama seperti jawapan semester-semester lepas, “Aku on the way ni.”

Biarlah, perut pun tengah lapar tahap rakyat Somalia nih. Segera aku mencari tempat duduk dan terus membuat pesanan makanan dan minuman. Di kala menunggu makanan dan minuman yang aku order tadi serta kedatangan member aku yang berbangsa Melayu itu, mata ini liar melilau ke sana ke mari.

Syok gak la. Tempat aku dok melepak tu memang banyak awek-awek hot. Yang bajet supermodel habis. Pakai mekap dua inci bagai, padahal nak makan kat kedai makan yang takde kelas nie je. Tapi, takpe la jugak. Boleh la jadi santapan nafsu lelaki-lelaki bermata jalang macam aku ni. Ikan goreng depan mata kucing, kucing nak tunggu lagi ke?






“Assalamualaikum!”

Tetiba lamunan aku dikejutkan oleh satu suara yang amat sangat familiar bagi aku, memberikan salam. Aku menoleh ke belakang dan ternyata, member aku tu dah sampai. Kami pun berjabat mesra dan aku mempelawanya untuk duduk di salah sebuah kerusi yang ada di situ sambil menunggu apa pulak alasan bijak dan kreatif member aku kali ini yang membuatkan dia lambat datang.

Dia meminta maaf kepada aku kerana lambat sambil memberitahu yang helmet motornya telah dipinjam oleh awek sebelah rumah membuatkan dia terpaksa menunggu awek tersebut untuk memulangkan semula helmetnya. Tak kisah la, janji dia da sampai. Dia pun mula membuat pesanan makanan dan kami pun mula berbual panjang berceritakan macam-macam perkara yang menarik untuk dibualkan.

Di kala kami sedang asyik berbual, tiba-tiba, kami didatangi oleh seorang hamba Allah ni. Seorang kanak-kanak yang agak comot. Pakaiannya compang-camping, penampilannya tak terurus. Dia datang kepada kami meminta sedekah.

Adoi ai! Potong stim betullah! Time orang tengah makan nie la dia datang nak mintak sedekah. Dah la perut tengah lapar giler neh. Datang dengan keadaan yang tak terurus macam tu, aku nak makan pun tak senang. Kanak-kanak tersebut meminta-minta kepada kami berdua untuk dihulurkan sedikit padanya barang seringgit dua untuk dijadikan belanja makannya.

Aku yang sedang lahap dan rakusnya melantak nasik goreng ayam beserta telur dadar ketika itu, buat dono je kat budak tuh. Buat macam takde sapa je datang. Dengan harapan budak tersebut blah dengan cepat. Lagi lama dia kat situ, makin tak selesa aku dibuatnya.

Namun, member aku segera menyeluk poketnya untuk mengambil dompet. Dikeluarkan not wang kertas lima ringgit dan segera dihulurkan kepada kanak-kanak tersebut. Nampak relief pada raut wajah kanak-kanak tersebut tatkala mengambil wang lima ringgit itu. Sebaik mengambil wang tersebut, dia mengucapkan terima kasih kepada kami berdua dan terus beredar ke meja sebelah pula.





Bila aku lihat budak itu dah makin jauh dari pandangan, segera aku berkata pada member aku tu,

“Ko tak baca sokabar ke? Zaman sekarang nie banyak sindiket pemintak sedekah tengah aktif tau dok suruh budak-budak mintak sedekah kat area-area tumpuan masyarakat cam kat sini ni. Kalau budak tue pun dari sindiket tu, sia-sia je lima ringgit yang ko bagi tadi. Sardin je ko kena tipu.”

Member aku pun menjawab,

“So, kalau dia tipu, Tuhan tak bagi ke pahala sedekah aku tadi? Macam mana kalau budak tue betul-betul memerlukan dan bukan dari mana-mana sindiket? Ko tau ke? Aku tak tau.”

Aku terdiam... Terfikir jugak di kepala otak aku nie. Betul gak ek. Kalau budak tu tipu, pahala sedekah dapat tak? Sama tak dengan pahala sedekah dekat orang yang betul-betul memerlukan. Kitorang bukannya tau pun budak tue betul-betul memerlukan atau menipu je. Daripada raut wajah dan keadaan budak tu memang nampak dia memerlukan.

Tuhan je la yang tau budak tue menipu ke tak. Kalau budak tue tak menipu, untung la member aku tue infaq lima ringgit miliknya tu tadi, tujuh ratus kali ganda Tuhan balas. Tapi, kalau budak tue tipu, member aku rugi ke? Tuhan tak bagi ke ganjaran tujuh ratus kali ganda tu? Member aku tu bukannya tau pun budak tue tipu ke tak. Yang kitorang nampak daripada ilmu pengetahuan yang terhad nie, memang budak tue memerlukan.




Sambung member aku tu lagi, nak bersedekah nie jangan dikira untung rugi, banyak atau sedikit. Selagi ada ruang untuk bersedekah, rebut je la. Jangan kerana laporan akhbar pasal sindiket apa tue semua, kita jadi orang yang kikir. Si peminta tue menipu atau tak, itu urusan dia dengan Allah. Bona fide contributer macam kita nie pun ada urusan dengan Allah jugak. Yang penting dalam amalan bersedekah ni, ikhlas.

Tak kisah la siapa pun si peminta tu, as long as kita nampak dia tue memerlukan, tugas kita yang mampu nie, bantu je la. Kemudian, lupakan terus akan bantuan tue agar kita tak berkira-kira atau mengungkit-ungkit akan bantuan yang kita dah berikan tue. Sebab Allah tak pandang banyak ke sikit harta yang kita beri atau layak ke tidak si peminta tue, selagi mana kita ikhlas mengharapkan kasih sayang dan ganjaran dari Allah, sepuluh sen pun Tuhan balas berlipat kali ganda.

Bersikap pemurahlah dengan makhluk Allah, nanti Allah murahkan pula rezeki kita. Kalau kita berlaku ikhlas dalam bersedekah, sungguh nanti harta sedekah itu akan jadi harta yang amat bermanfaat kepada si peminta tu. Kalau dia menipu, Allah akan buka jalan taubat buatnya.

Dulu ada suatu kisah bahawa seorang yang pemurah ni terlalu suka memberi sedekah dan dia tak pernah berkira-kira dalam memberi sumbangan harta. Apa yang penting, dia mahu hartanya yang banyak tu beroleh keberkatan dari Allah dan bersih sifat maknawinya serta yang paling penting mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah melalui amalan sedekah itu. Sampaikan dia tak sedar yang seorang penzina telah mengambil wang sedekahnya untuk dijadikan belanja makan. Ditakdirkan Allah, si penzina tue bertaubat berkat wang sedekah yang diberinya secara ikhlas.

Member aku tue tak cite pulak sumber cerita tu, tapi aku faham la bahawa harta sedekah yang ikhlas memang memberi manfaat kepada si penerimanya tak kira dengan apa jalan sekalipun. Kalau dia menipu, melalui harta tersebut mungkin Allah akan jadikan ia sebagai asbab si penerima itu untuk bertaubat. Itu lebih baik. Melalui harta itu, ia tak membawa si penerima keluar dari kencah kemiskinan harta, tetapi ia membawa si penerima keluar daripada kancah kemiskinan jiwa.

Allah pun dah ingatkan banyak kali dalam Quran yang antara sifat orang yang beriman dan bertaqwa adalah selalu menafkahkan hartanya ke jalan Allah. Sama la tue kalau kita bersedekah ikhlas kerana Allah. Nabi SAW pun kata tangan yang memberi lagi baik dari tangan yang menerima, baginda SAW siap gerenti lagi yang orang yang suka bersedekah nie takkan miskin selama-lamanya, di dunia dan yang paling penting di Akhirat.

Malahan, salah satu dari tujuh golongan yang Allah akan bagi naungan-Nya kat Akhirat nanti adalah mereka yang selalu bersedekah sehingga tangan kiri pun taktau langsung apa yang tangan kanan bagi. Nak habaq mai betapa ikhlasnya sedekah mereka itu. Tak cukup lagi ke dengan semua tawaran-tawaran lumayan tersebut yang diberikan kepada mereka yang suka bersedekah?

Bersedekah je la. Jangan dikira. Nampak je orang memerlukan, tak payah susah-susah soal selidik latar belakang si penerima tue, bagi je selagi mampu. Biar Allah yang tentukan. Apa yang penting, ikhlaskan sedekah kita dan harapkanlah kasih sayang dan redha Allah melalui amalan sedekah tu.

InsyaAllah, harta sedekah kita tue akan memberi manfaat kepada mereka yang menerimanya, biarpun mereka itu si penipu, pencuri, penzina atau apa sahaja golongan yang sebenarnya tak layak menerima sedekah. Dengan harta sedekah yang Ikhlas, jalan rahmat Allah buat mereka akan jadi lebih luas, makanya, saham si pemberi pun makin meningkat berlipa-lipat kali ganda lah di sisi Allah.

Pergh! Bertubi-tubi aku kena dengan member aku tuh. Insaf la jugak akan apa yang dikatakannya itu. Sebenarnya, aku sendiri yang terlalu bakhil dengan harta yang Allah beri. Konon betul sangatlah tanak bagi sedekah dekat orang yang aku percaya menipu untuk mendapatkan sedekah. Sampai terlupa yang sedekah nie perintah Allah. Harta yang aku ada nie pun milik Allah. So, pe hal aku nak sombong sangat berkira-kira dengan harta tue semua.




Namun, part yang lebih menyedihkan adalah, kata member aku, golongan orang yang macam aku nie, yang menghalang-halangi manusia daripada memberi sumbangan kepada fakir miskin ni, Allah dah cop dah sebagai golongan manusia yang mendustakan Agama. Ini menerusi surah al-Ma’un. Ngee! Apa aku dah buat ni? Diri aku dah melampau batas betul laa!

Kesimpulannya, bersedekahlah sebanyak-banyaknya dengan hati yang ikhlas!

0 Komentar:

Post a Comment