The Most Generous...

Dec 3, 2010



Masa hari raya bebaru nie, aku ada bawak sorang member aku untuk pergi beraya kat area hometown aku nie. Ye lah, da raya ni kita kena la ziarah-menziarahi rakan dan taulan, sanak saudara jauh dan dekat. Masa nie la kita nak merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain kan. Kalau nak harap hari-hari lain, memang susah la nak berjumpa.

Tambahan pulak masing-masing dah merantau jauh. Bertebaran ke seluruh pelusuk bumi nie, memang susah la nak berjumpa dan bertanyakan khabar. Nak SMS je tak syok la, cepat bosan. Kredit pun burn. Bila tiba hari raya, semua mereka termasuk aku yang bertebaran tadinya akan pulanglah ke kampung halaman masing-masing. Waktu begini amatlah ideal sekali untuk saling berjumpa dan bertanyakan khabar.

Namun, plan aku dan member aku di hari raya ke-5 itu agak menyimpang sedikit. Sikit je, tak la teruk sangat. Kitorang nak pergi beraya rumah aweks. Haha! Tak kesah la awek kampung ke, sekolah rendah ke, sekolah menengah ke, universiti ke, asal ada can nak ngorat tu kitorang masukkan lah dalam list rumah yang nak diserbu di hari tu.

Kira ok la tu, rumah sanak saudara dah pegi, kaum kerabat pun sudah, kawan-kawan seperjuangan juga sudah, kroni-kroni serta proksi-proksi politik pun telah diziarahi, rumah awek je yang belum. Apa salahnya kan nak bertanyakan khabar dan ziarah-menziarahi. Untung-untung ada can cari calon isteri.

Jadi, aku dan member aku pun mula lah mengatur aturcara majlis pada hari itu. Memana awek yang dah disahkan takde pakwe je yang kitorang plan nak pegi, lain boleh blah! Haha! Namun, nasib kami kurang baik pada hari tersebut, setelah dihubungi beberapa potential aweks yang kami ingin mampir ke rumah mereka, ternyata ramai di antara mereka tiada di rumah pada hari tersebut.

Kenduri la, balik kampung la, nak jaga adik la dan macam-macam lagi alasan-alasan yang munasabah untuk digunakan bagi menolak plan ziarah kami ini. Tolak tuah betul mereka-mereka nie semua. Bukan senang jejaka-jejaka yang perasan bagus macam aku dan member aku ni nak datang ke rumah mana-mana perempuan.

Nie, kitorang nak datang, banyak pulak alasannya. Nak jadi cerita, dalam banyak-banyak nama yang dah di short-listed oleh kami hari tu, hanya satu nama sahaja yang betul-betul free untuk menerima kedatangan ziarah hari raya kami.

Sedikit kecewa juga kerana hanya satu rumah sahaja yang nak diserbu pada hari tersebut. Apa nak buat, rezeki tak murah. Tapi, kami tetap bertekad untuk pergi juga biarpun cuma satu rumah. Macam rugi je nak biarkan satu hari raya berlalu tanpa pergi beraya di mana-mana. Makanya, bergeraklah kami berdua menuju ke destinasi yang dah ditetapkan dengan menggunakan kereta aku.




Nak jadi cerita, sekali rumah awek tersebut jauh la pulak dari daerah tempat tinggal aku dan member aku. Jauhnya macam dari Batu Pahat nak ke Johor Bharu, atau dari Shah Alam nak ke Kajang, atau juga dari Taiping nak ke Tanjung Malim. Jauh siot.

Namun, nak beraya rumah awek punya pasal, duit tol dekat seploh ringgit sanggup juga dibelanjakan yang mana nilai tersebut amatlah sukar sekali untuk masuk ke dalam tabung masjid mahupun poket anak-anak yatim dan fakir miskin yang datang meminta sedekah di mana-mana tempat awam.

Kitorang dah plan sejak raya pertama tu. Takkan la na batalkan je ziarah hari ni hanya kerana satu rumah sahaja yang boleh diziarahi. Yang memana tak boleh tu, esok-esok boleh cuba lagi. Hidup nie jangan mudah putus asa. Gagal sekali, tak bermakna jangan cuba lagi. Berusaha itu yang penting untuk menjamin masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Di dalam perjalanan yang panjang itu, aku dan member aku pun berbual panjang la jugak. Cerita pasal pelajaran, politik, ekonomi, sistem sosial, masyarakat majmuk, gagasan 1 Malaysia, keamanan sejagat dan sebagainya. Pergh! Gila tak remaja tajuk. Takde lah. Kitorang sembang-sembang benda-benda tak berpekdah je macam Scha al-Yahya dengan Diana Danielle sapa lagi cun, game komputer apa yang tengah top sekarang neyh, fesbuk, dan sebagainya.

Sedang kami sibuk berbual tue, tiba-tiba mata member aku tertumpu kepada satu objek di tepi jalan sekaligus memberhentikan sebentar perbualan kami yang banyaknya bersifat lagha tuh. Aku pun mencari-cari la jugak objek yang menarik perhatian member aku tu. Rupanya ia sebuah banggunan. Macam banggunan biasa je, tapi ada lukisan buah pinggang yang amat besar pada banggunan tersebut.

Member aku pun bertanya kepada aku, apakah aku tahu banggunan apa yang aku dan dia lihat tu. Tak silap aku, kalau dah ada gambar ginjal tue, memang dah sah-sah la pusat homodialisis kan. Takkan tempat membeli dan menjual ginjal terpakai pulak. Tepat sekali jawapan aku itu kata member aku yang merupakan pelajar ijazah kursus sains makanan di salah sebuah institut pengajian tinggi awam di tanah air ini.

Aku jadi pelik la jugak. Nak heran apa pusat homodialisis? Mustahil umur dah masuk dua puluh tahun tapi tak pernah tengok banggunan pusat homodialisis. Rumah kat tengah hutan hujan tropika ke apa sampai pusat homodialisis pun tak tahu. Aku tanya la member aku akan pertanyaannya pada aku mulanya tadi.

Dia pun memulakan penceritaannya pada aku berkenaan pusat tersebut. Tempat tue adalah untuk merawat pesakit ginjal, ye lah kan, takkan pesakit otak pulak. Bila ginjal dah tak berfungsi, makanya bendalir-bendalir yang masuk ke dalam badan kita dah tak dapat nak ditapis. Seterusnya terkeluarlah dari mulut member aku tu pelbagai istilah-istilah saintifik yang ntah apa-apa bagi nak menerangkan proses bagaimana penapisan itu berjalan.

Dah lama aku tinggal sains. Lepas sekolah dulu memang aku dah tak ambik tau langsung pasal sains. Kursus ijazah yang aku ambik sekarang pun mana ada kena mengena dengan sains. Tiba-tiba member aku menceritakan pada aku benda-benda sains nie balik. Nak termuntah aku dibuatnya bila mendengar apa yang diomongkan member aku tu. Namun, sebab nak menjaga hatinya yang tengah excited giler nak menceritakan pasal ginjal nih, aku dengarkan aje dengan riak muka plastik kononnya berminat.




Panjang jugak kisah pasal ginjal nie. Member aku cerita dari mula air masuk ke dalam ginjal sampai la air tue keluar jadi urine, simptom-simptom penyakit ginjal sampailah ke langkah-langkah pencegahannya. Pergh! Sebijik macam misi doktor yang datang sekolah rendah aku dulu sebab nak terangkan bagaimana caranya nak mengosok gigi dengan betul.

Di kala nak menutup perbincangan pasal ginjal tu, member aku pun memberitahu aku suatu yang paling crucial sekali yang sebenarnya dia nak bagitahu pasal ginjal tu.

Katanya, bila sebelah ginjal rosak, sebelah lagi masih ada. Kalau dua-dua rosak, memang terpaksalah pesakit berulang-alik ke pusat homodialisis tu. Tujuannya adalah untuk menapis air yang tak tertapis dalam badan kerana tiadanya ginjal tu atau rosaknya fungsi ginjal tersebut.

The point is, mesin yang digunakan untuk menggantikan fungsi ginjal dekat pusat homodialisis tue sikit punya besar. Dah tue, sekali buat memang mahal harga yang perlu dibayar oleh pesakit. Paling murah pun RM300. Gilo! Dah la seminggu dekat dua tiga kali nak kena pegi.

Cuba compare dengan ginjal tue sendiri. Macam mana Tuhan boleh ciptakan ginjal yang besar kuih pau tapi memiliki fungsi yang sama dengan mesin penapisan ciptaan manusia yang besar bagak kat pusat homodialisis tuh. Tak rasa ke kehebatan Tuhan pada penciptaan ginjal tue?

Tue takpe lagi, the crucial part is, bapa ringgit Tuhan charge sekali ginjal tue tapis air dalam badan kita? Kalau mesin ciptaan manusia tue, sekali proses dua tiga ratus nak kena bayar, ginjal pulak macam mana? Dah la Tuhan bagi free je, setiap kali ginjal tue berfungsi, satu sen pun Tuhan tak mintak.

Dengan ginjal tue kita boleh lihat betapa pemurahnya Allah. Dia beri tanpa kita mintak. Sebab Dia tahu kita perlukan ginjal tue. Pulak tue, Dia tak mintak langsung kita bayar apa2 fee untuk perkhidmatan ginjal tue. Betapa agungnya sifat ar-Rahman Tuhan itu. Yang Dia mintak cuma kita buat apa yang Dia suruh, tinggal apa yang Dia larang.

Suruhan dan larangan tue pulak langsung tak merugikan kita sedikitpun. Malah menyebabkan kita hidup dengan lebih aman, bahagia dan lebih teratur. Nak solat takyah keluar duit, nak puasa pun tak payah keluar duit, Dia suruh jauhi zina sebab zina tue rosakkan sistem masyarakat, Dia suruh jauhi arak sebab arak tue sumber bermacam jenis kejahatan.




Itu je yang Dia mintak kita buat sebagai balasan dari apa yang dah Dia beri. Itu jugak tanda yang kita nie bersyukur dengan segala macam nikmat yang Dia bagi. Tunaikan perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Bila kita ingkari perkara tersebut, tandanya kita kufur dengan nikmat-Nya sekaligus dianggap tak mengenang jasa. Bila kita menderhakai budi yang Allah dah bagi, azab Allah je lah yang layak bagi kita. Nau’zubillah!

Terketuk jualah pintu hati aku nie bila mendengarkan nasihat member aku tu. Itu baru cakap pasal ginjal. Belum lagi jantung, akal, oksigen, air, api, rumah, motor, kereta, wang ringgit, orang sekeliling yang menyayangi kita dan yang paling utama sekali, nikmat Iman dan Islam. Itu yang paling-paling kita kena bersyukur. Tak semua orang Tuhan bagi nikmat yang teragung tue.

So, kena la jaga elok-elok dan suburkannya selalu dan kemudian sebarkan kepada mereka yang belum mendapatkannya lagi. Memang hidayah tue milik Allah, tapi, kita kena lah berusaha untuk sebarkannya ke seluruh alam. Nabi SAW dulu pun tak duduk diam and berdoa je mintak Allah bagi petunjuk dekat kaum kafir Quraisy tuh. Baginda turun padang berdakwah gak tetiap hari sampaikan Iman dan Islam kepada masyarakat.

Makanya, aku jadi terdorong untuk selalu mengucapkan rasa syukur kepada Allah atas setiap benda yang aku dapat atau yang berlaku pada aku. Tambah member aku lagi, setiap benda yang Allah beri pada kita, memang susah kita nak syukuri melainkan kita kena selalu berfikir dan merenung akan pemberian tersebut, baru mudah hati ini nak rasa bersyukur.




Akhirnya, kami pun meneruskan semula perjalanan kami yang sikit lagi je dah nak sampai ke destinasi yang nak dituju tu. Kurang lima kilometer lagi kami nak sampai, tiba-tiba aku mendapat panggilan dari awek yang kami nak ziarahi kejap je lagi. Uish! Dah tak sabar-sabar dah ke menanti kedatangan jejaka-jejaka kacukan Bollywood nih sampai nak koling-koling pulak.

Sebaik aku menjawab panggilan tersebut, dia pun berkata, “Datang besok-besok je lah, lupa la hari ni nenek buat kenduri kat kampung.”

Setelah perjalanan yang panjang yang memakan duit minyak dan duit tol yang dekat dua puluh ringgit, korang nak tau apa yang aku kata lepas tu kat dia? Tak payah la, aku jamin korang takkan sanggup nak tau apa yang aku kata.........

0 Komentar:

Post a Comment