Outstanding Generation...

Aug 10, 2010

Tarikh hari ni 10 Ogos 2010 bersamaan 29 Syaaban 1431, waktu aku mula menulis ni jam 2:18 PM. Bermakna kurang 24 jam lagi langit Ramadhan bakal menaungi seluruh alam maya ini. Mukadimah yang gempak ini aku karang menandakan rasa jiwa yang sebenarnya masih tak menentu menunggu kedatangan Ramadhan kali ini.

Rasa yang macam mana? Aku pun tak tau, sebab dah tak menentu kan, jawapannya masih tak ada yang certain lagi lah. InsyaAllah kalau sempat, kurang 24 jam lagi aku akan menyambut kedatangan Ramadhan buat kali yang ke 21 dalam hidup aku. Mungkin kali yang ke 16 secara sedarnya.

Secara tipikalnya, setiap tahun, Ramadhan disambut secara meriah oleh rakyat Malaysia. Meriah dengan caranya yang tersendiri. Bazaar Ramadhan, buffet kat hotel, moreh, kacau dodol, kuih-muih, kedai baju raya kat kompleks PKNS, tarawikh (yang mana setiap tahun gak orang dok gaduh nak buat 8 rakaat atau 20 rakaat), tv siarkan waktu sahur dan berbuka dan sebagainya. Benda-benda nie semua hanya berlaku pada bulan Ramadhan sahaja, sebulan sekali, 30 atau 29 hari setahun.

Yang Tarawikh tue pulak bagi aku, selalunya awal Ramadhan je aku bersemangat. Semakin Ramadhan berlalu waktunya, semakin lesulah Tarawikh aku. Ini termasuk jugak ibadah-ibadah yang lain terutamanya bertadarus. Begitulah aku, yang sering kelalaian. Kemeriahan Ramadhan selalunya terasa bagi aku secara adatnya sahaja.

Waktu berbuka yang paling aku seronok. Dengan segala murtabak, roti john, nasik tomato, kuih-muih yang beraneka macam, time ney jugaklah aku akan merasa pelbagai jenis kuih yang seumur hidup aku tak pernah rasa atau tak pernah suka. Tak kira air minumnya lagi. Sirap bandung, jagung, soya, tebu dan memacam lagi. Yang aku sebut ni adalah hidangan untuk sekali berbuka tau.

Dahsyatnya budaya makan masa Ramadhan berbanding di bulan-bulan yang lain. Sepatutnya Ramadhan adalah bulan mendidik hawa nafsu dan antaranya nafsu makan. Tue pasal Allah wajibkan hambanya yang beriman untuk berpuasa, menahan lapar dan dahaga di bulan ini. Ini tak, makin melantak adalah.

Mungkin inilah rasa yang tak menentu yang aku katakan tadi. Terfikir di hati ni, mungkinkah Ramadhan kali ni macam Ramadhan yang sebelum-sebelum ney jugak? Lesu tak bermaya, hanya menanti waktu berbuka dan hari raya sahaja. Ibadah pulak makin berkurang ada lah. Alasannya sebab letih berpuasa.

Mana tak nya, Ramadhan tak start lagi aku dah terfikir, mesti banyak kelas kat kampus tue yang bakal aku miss atau ponteng masa Ramadhan. Sebab memikirkan mesti tak larat nak start motor pegi kelas tetiap pagi weekdays tu. Tambah pulak dalam Ramadhan kali ni tetiap hujung minggu ada je replacement class yang diadakan sebab nak ganti kelas yang bakal dimansuhkan seminggu sebelum cuti raya.

Hapa punya persepsi lah. Memandang Ramadhan sebagai bulan yang meletihkan dan memenatkan. Tak boleh buat apa-apa aktiviti pun. Kononya letih tak makan tak minum, kalau buat aktiviti banyak-banyak boleh mati ooo. Kolot punya pemikiran. Upin dan Ipin pun dah kata “Tak mati kalau puasa!”.


Selalu aku dengar dalam ceramah-ceramah agama tak kira secara langsung atau tak, dalam radio mahupun tv, secara rela atau terpaksa, berkenaan kebesaran bulan Ramadhan ni. Pahala dilipatganda, langit Rahmat terbuka lebih luas, laut pengampunan Tuhan melimpah-ruah, para Malaikat merendahkan sayapnya, meratakan rezeki untuk semua, dan yang paling utama sekali Lailatul Qadar yang pasti menjelma hanya di bulan ini.

Tapi masih jugak setiap kali Ramadhan, amat lemah semangat aku untuk rebut semua tu. Paling kuat pun awal Ramadhan je, kemudian lenyap habis segala amalan tu. Yang lawaknya, tak sempat Ramadhan melabuhkan tirainya dah stop habis segala amalan-amalan tu. Berjalanlah hidup seperti sedia kala macam bulan-bulan biasa, bezanya cuma tak makan dan tak minum je.

Begitulah Ramadhan untuk manusia yang lemah dan malas serta takde kesedaran dan tak faham hakikatnya. Sedangkan Nabi saw pernah bersabda yang kalau seseorang tue faham hakikat sebenar Ramadhan, pasti dia akan berharap yang sepanjang tahun adalah Ramadhan.

Dan aku sangat pasti orang yang faham hakikat yang disabdakan Nabi saw tue pasti para sahabat serta salafussoleh di masa dahulu. Selalu aku terbaca sirah mereka masa sekolah dulu. Mereka-mereka yang patuh pada seruan Allah dan Nabi saw nie, tak kira la sama ada yang ditarbiah secara direct oleh Nabi saw atau melalui riwayat, kebanyakan mereka sangat bersemangat menghadapi Ramadhan.

Contoh paling utama sekali perang Badar lah. Perang yang pertama melibatkan tentera Islam. Masa bila perang nie terjadi? Dalam bulan Ramadhan lah, tarikhnya aku tak pasti bila. Yang aku dengar dari ceramah-ceramah sebelum nie, dalam bulan Ramadhan la kan.

Perang tuu! Aktiviti yang bagi aku sangat memenatkan dan memeritkan. Perlu banyak tenaga untuk menempuhnya. Makan dan minum mesti sentiasa cukup agar para tentera tak kepenatan. Buktinya, antara strategi perang yang paling efektif sekali adalah menakluk sumber air yang utama di medan perang tue sendiri.

Dengan itu, bekalan air sentiasa mencukupi untuk kegunaan para tentera dan menyekat bekalan air tentera musuh seterusnya melemahkan kekuatan mereka. Tapi, masa perang Badar, tentera Islam semuanya berpuasa biarpun mereka sedang berperang. So, tak bolehlah mereka nak teguk barang setitis air pun di waktu itu. Aku tak pernah dengar pulak ada tentera Islam yang tak berpuasa masa perang Badar.

Dan akhirnya, tentera Islam menang di waktu itu. Macam mana diorang boleh menang sebab secara logiknya, kelemahan terlalu banyak di pihak tentera Islam, dari segi bilangan tenteranya, alatan perangnya, ditambah pulak dengan mereka semua itu berpuasa, tidak makan dan tidak minum di waktu berperang.

Mungkin mereka inilah yang dimaksudkan oleh Nabi saw orang-orang yang faham erti Ramadhan tu. Berpuasa bagi mereka bukanlah sesuatu yang memenatkan dan menyusahkan sehingga aktiviti seharian banyak yang tergendala akibat kononnya penat berpuasa.


Contoh lain macam tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Nabi saw bersabda yang Konstantinopel akan ditakluk oleh pemimpin yang baik yang memiliki tentera yang baik serta rakyat yang baik. Jom kita tengok sikit behaviour tentera Sultan Muhammad yang berjaya takluk Konstantinopel ni.

Kebanyakan mereka menjadi ahli Ibadah di malam hari dengan mengorbankan waktu tidurnya, dan di siang hari mereka bagai singa yang baru bangkit dari tidur yang lena di malamnya. Dan mereka semua selalu mengamalkan puasa sunat. Namun, tenaga mereka langsung tak luput malah lebih kuat berbanding tentera lawan yang tak berpuasa. Dan akhirnya, mereka menang dan berjaya menakluk Konstantinopel.

Macam mana tentera yang tak makan dan tak minum di siang hari, dan di waktu malamnya mengorbankan waktu rehat dan tidur untuk berdiri tegak, rukuk dan sujud di hadapan Allah boleh menjadi lebih kuat berbanding tentera lawan dan tentera-tentera Islam yang sebelumnya pernah jugak cuba menakluk Konstantinopel? What kind of human being could that be!

Bukan mereka sahaja, itulah cara hidup para sahabat Nabi saw yang utama terutama Khalifah yang empat itu. Malam mereka dihiasi dengan keindahan alunan zikrullah serta amal Ibadah yang berpanjangan, siangnya tak menampakkan langsung yang mereka nie tak cukup tidur. Mereka bekerja, berdakwah, mendidik masyarakat seperti biasa tanpa menunjukkan yang mereka nie penat.

Di samping makan mereka jugak amatlah tak keterlaluan. Puasa sunat menjadi amalan mereka. Kalau mereka tak berpuasa, budaya makan mereka tetap macam orang yang berpuasa. Cukup sekadar sebijik dua buah tamar serta seteguk air kosong. Nabi saw sendiri pun di sepanjang hidupnya berlapar.

Aisyah ra pernah memberitahu yang Rasulullah saw berlapar bukan kerana baginda saw tak mampu nak dapatkan makanan, tapi baginda saw sendiri yang memilih untuk berlapar. Kalau baginda saw nak makanan, baginda saw boleh je mintak kat sesiapa saja, sebab baginda saw seorang Nabi yang diyakini dan dihormati oleh para sahabat. Malah baginda saw juga dihormati oleh lawannya. Baginda saw seorang pemerintah Madinah, mustahil baginda saw tak boleh dapat benda yang baginda saw nak kalau diminta.


Sebab berlapar bagi hamba yang beriman dan bertaqwa bukanlah penyebab kelemahan, tetapi ia merupakan sumber kekuatan yang utama. Makan dan minum cukuplah sekadar nak mendirikan tulang belulang, bukan sampai memenuhi isipadu perut, yang mana akhirnya akan melemahkan lagi tuan punya perut yang kemudiannya akan menyebabkan malas beribadat.

Aku tahu semua itu. Aku tahu puasa tak melemahkan badan. Aku tahu puasa menguatkan ketahanan rohani dan jasmani. Tapi masih jugak setiap tahun Ramadhan aku lesu tak bermaya, lemah longlai. Alasan utama aku untuk malas ke masjid, malas pergi kelas, malas tolong mak kat dapur, malas itu, malas ini.

Tak tahulah aku Ramadhanku kali ini bagaimana. Zaman sudah semakin sampai ke penhujungnya, umur aku pun semakin lanjut, ajal semakin dekat, kalaulah ini Ramadhanku yang terakhir, dan Ramadhan ini jugak sama macam Ramadhan-Ramadhan yang dahulu, aku pun tak tahu bagaimana nasibku kelak………


0 Komentar:

Post a Comment