Pencinta Rasul SAW...

Feb 13, 2012



Dulu masa form 2, satu hari tu aku naik kereta dengan abang aku untuk pergi ke sebuah pasaraya berdekatan. Abang aku ajak teman dia pegi sana sebab mak suruh dia pegi beli barang sikit. Aku ikutkan je sebab kalau aku tanak ikut, dia ugut nak belasah aku pakai sarung tangan tinju yang baru dibeli kat Rantau Panjang masa beberapa bulan sebelumnya. Memandangkan aku dah pernah kena belasah sekali, aku ikutkan sahaja kehendak abang aku itu.

Sakit kot. Aku ingatkan bila dia ajak lawan tu, dia nak lawan cara budak-budak je la dengan aku. Iyelah, aku masa tu kecik lagi kot. Dia dah besar panjang dah. Lawan olok-olok udah la. Sekali dia lawan aku macam nak lawan dengan Evander Hollyfield la pulak. Aku nak nangis dia marah. Tak jantan katanya kalau nangis. Maka, terpaksalah aku merelakan diri untuk menjadi punch bag abang aku di waktu itu. Perit seh!

Masa dalam kereta tu, kitorang tak banyak bersembang pun. Ye lah, masa tue aku kecik lagi, abang aku tue dah bekerja dah pun. Apa sangatlah yang nak dibualkan antara kami berdua. Apa yang boleh dibuat hanya duduk diam dan dengar sahaja radio yang dipasang di dalam kereta tu.

Tau sangatlah aku, abang aku tu kalau ajak aku pegi supermarket mesti sebab nak suruh aku angkat semua barang-barang yang bakal dibeli sebentar nanti. Betapa seksanya memiliki seorang abang yang agak gangster bagi seorang adik yang pasif seperti aku ni.

Namun, apa boleh buat, mengenangkan sakit yang bakal dirasai andai aku dibelasah menggunakan sarung tangan boxing itu, baik aku merelakan sahaja diri ini untuk menjadi hamba abdi sambilan pada abang aku itu. Alah, bukan orang lain, abang sendiri jugak kan.

Masa dalam kereta tu, naik berbulu juga aku dibuatnya. Abang aku tue tak habih-habih asyik menukar channel radio.Tak boleh ke stick dengan satu channel radio je. Serius, pening kepala aku bila channel radio tu asyik bertukar-tukar tanpa sempat aku hayati lagu-lagu yang diputarkan oleh deejay radio yang bertugas. Ikutkan hati, nak je aku penumbuk radio tersebut bagi pecah. Senang, tak payah susah-susah nak tukar channel sampai naik pening kepala aku.

Namun, andai benar aku melakukan apa yang terpendam di dalam lubuk hati sanubari itu, pasti aku bakal dihadiahkan sebuah penerajang oleh abang aku yang ketika itu memakai kasut Timberland yang tapaknya tu dah macam tapak kasut pengacara rancangan mengembara ke tengah gurun sahara menerusi saluran Discovery Channel. Kalau kena kat perut aku tu, mau sebulan perut aku tak mampu nak merembeskan jus gaster.

Aku pendamkan sahaja hasrat di hati ini dan menyuburkan benih-benih kesabaran di jiwa menahan kerenah abang aku yang asyik menukar-nukar channel radio tu. Beberapa ketika lepas tu, tetiba sahaja abang aku menghentikan jari-jemarinya dari terus menukar-nukar channel. Syukur! Berenti jugak jari jemari tersebut bergerak menekan-nekan punat radio tu.

Rupanya abang aku dah ketemu channel radio yang memutarkn lagu yang bagi aku agak best la jugak. Lagu yang membuatkan kepala aku bergerak sedikt ke kiri dan ke kanan sambil kaki aku menghentak-hentak perlahan sebagai tanda sedang menghayati alunan muzik lagu tersebut. Lagu apa ni? Aku betul-betul tak tau sebab tak pernah dengar pun lagu tue sebelum ni.

Sebaik lagu tue habis, aku terus bertanya kepada abang aku, lagu apa tu? Abang aku menjawab dengan padat dan ringkas, “Khayalan, V. E dengan Ruffedge.”

Ooo, V. E dengan Ruffedge. Aku tak tahu pun kumpulan apa tu. Tapi aku pernah terlihat bekas CD dua kumpulan tersebut di dalam simpanan abang aku dekat rumah. Tajuk album dia ‘Extreme Pleasure’.

Sejak dari hari tu, aku amat meminati lagu tersebut. Asal bukak radio je, tangan aku pun dah ikut perangai tangan abang aku yang tak reti nak duduk diam asyik nak menukar-nukar channel radio. Semuanya semata-mata hanya kerana nak cari stesen radio yang memutarkan lagu Khayalan tuh. Iye lah, zaman tu kalau nak dengar sesebuah lagu kena beli kaset atau vcd. Mana ada lagi budaya-budaya nak download lagu melaui internet.

Lagu Khayalan tu pulak memang takde pun dalam album Extreme Pleasure tuh. Nak beli vcd cetak rompak kang, kantoi kat bapak aku, mau kena servis kuda aku. Bapak aku tu memang berintegriti sikit orangnya. Orang keja gomen, biasalah.

Makanya, terpaksalah aku mencari-cari lagu tersebut menerusi corong-corong radio semata-mata. Tapi, takde hal jugak sebenarnya. Sebab, masa tu lagu Khayalan tu memang tengah ngetop di semua stesen-stesen radio. So, mudahlah untuk aku mendapatkan stesen radio yang memutarkan lagu tersebut. Sampai satu tahap, aku sanggup menyeludup masuk ‘palito’ ke dalam asrama semata-mata hanya kerana nak mendengarkan lagu tersebut.

*palito adalah sejenis gajet murah di masa lampau yang bentuknya sama besar dengan iPod yang hanya boleh memutarkan siaran radio semata-mata. Tapi, nak dapatkan coverage tu sikit punya seksa. Ia adalah salah sejenis barang haram yang orang tak heran pun kalau kena rampas dengan warden atau pengawas asrama oleh kerana nilainya yang agak tak bernilai itu. Sekarang ni, rasanya dah tak wujud dah benda alah tu.

Dan secara tak langsung aku jadi minat pulak kat kedua-dua kumpulan tersebut. Lagu-lagu yang diorang hasilkan dan nyanyikan bagi aku memang best. Kalau V. E ada ‘Party Like This’, ‘Rozana’, ‘Ayu’, ‘Pop Yeh Yeh’ dan banyak lagi. Tak kurang hebatnya jugak kumpulan Ruffedge. Lagi banyak lagu diorang yang aku suka dan lagu yang paling aku suka sekali of kos la ‘Tipah Tertipu’. Dekat setahun gak la lagu tersebut jadi siulan lidah dan gusi aku ni.




Mana tak nya, hampir setiap kali prep malam kat asrama masa tahun 2004 dulu aku karok lagu-lagu Ruffedge dengan sorang lagi member aku ni. Selalu aku ambik part rap je, member aku tu pulak ambik bahagian nyanyiannya. Ye lah, suara kita ni takde la sedap mana pun kalau nak dibandingkan dengan suara member aku tu yang satu sekolah panggil dia Faizal Tahir Penang. Eleh, aku saja ja taknak tunjukkan bakat sebenar. Kang, mulalah pihak sekolah panggil suruh jadi vokalis kumpulan nasyid sekolah. Tak kuasa aku. *masuk bangkul angkat sendri itu cool*

Dan sememangnya aku lebih meminati kumpulan Ruffedge. Sebab diorang lagi stylo dengan pakaian diorang yang ala-ala hip-hop gitu. Cap, baju jersi besor-besor, seluar beggie, pergh! Memang style lah. Aku suka gila dulu. Sampai satu tahap, aku jadi teringin pulak nak pegi audition rancangan Akademi Fantasia sebab seronok tengok Zahid af dapat nyanyi style kumpulan Ruffedge dulu. Namun, bagi mengelakkan nama aku dari digugurkan dari senarai pewaris harta keluarga, adalah lebih baik aku batalkan sahaja impian tak bertamadun tersebut.

Masa terus berlalu, tetiba je tahun 2006 dulu, salah seorang dari ahli kumpulan Ruffedge iaitu Cat Farish pegi keluar pulak dari kumpulan tu dan tubuhkan satu lagi kumpulan baru iaitu The Fabulous Cat. Sejak dari tu la nama Ruffedge makin tenggelam. Tak dapat dinafikan yang sebenarnya hampir kesemua lagu-lagu Ruffedge yang ngetop dulu adalah dari hasil tangan Cat Farish. Senyap teruih kumpulan Ruffedge lepas tu. Aku pun dah tak dengar khabar diorang. Lama gila.

Ada la juga pernah dengar diorang buat single terbaru, tapi lagunya ntah apa-apa. Tak best langsung. Seriously, keluarnya Cat Farish dari kumpulan tu telah memberi impak yang besar gak la kat diorang. Aku pun dah tak minat dah dengan kumpulan Ruffedge ni. Sama juga dengan kumpulan V. E. Ekceli, aku takde la minat sangat kumpulan V. E ni sebab ahli kumpulan ni sorang-sorang bajet hensem.




So, berjalanlah masa seperti biasa. Aku meneruskan hidup sebagai jantan malaya menempuh liku-liku kehidupan yang penuh ranjau berduri. Belajar dengan alam dan sifat diri serta masyarakat. Pahit manis, senyum dan tawa, tangis dan duka, semuanya digaul sebati bagai tepung diuli untuk membuat kuih tat di hari raya. Aku pun tak paham apa yang aku merepek ni. Saja nak bagi cukup satu perenggan ja sebenarnya.

Sehinggalah sampai pada pertengahan tahun lepas. Aku terbaca sebuah artikel dalam surat khabar nie. Terkejut jugalah bila baca heading dia. Tajuknya, salah seorang dari ahli kumpulan Ruffedge yang aku minat gila dulunya tu telah pun menghijrahkan dirinya kepada diri yang baru. Dia yang disebutkan adalah saudara Amer Munawer. Tampil segak dengan berketayap dan berbaju melayu Raihan serta berselendang. Memang nampak lain. Lain betul dari imej hip hop yang selalu dia kenakan masa dalam Ruffedge dulu.

Aku pun bacalah artikel tersebut. Ternyata, memang dia dah berubah. Dia bukan lagi ahli kumpulan Ruffedge. Bukan jua nak bergerak secara solo. Cumanya, dia dah berubah. Berubah menjadi diri yang baru. Diri yang tampak lebih dekat dengan Tuhan. Tak nampak berserabut sangat macam dulunya.




Seriously, perubahannya itu secara tak langsung buat aku jadi seronok pula. Ye lah, aku minat gila kot kumpulan Ruffedge tu. Tup-tup, salah seorang dari ahli kumpulannya dah berubah jadi macam peribadi yang sebenarnya aku sendiri pun mengimpikan untuk jadi begitu.

Kata Amer, perubahannya hanya kerana bila sudah mengenal peribadi kekasih Allah, Muhammad saw, yang sebenarnya. Siapa baginda, sifat-sifat baginda, perjuangan baginda, cinta kasihnya baginda pada umatnya, jerih perih perjuangan baginda menyampaikan Islam. Semua itu diadun sempurna menjadi sebuah resepi penghijrahan yang lengkap buat saudara Amer Munawer.

Terkesima jugalah aku jadinya. Aku pun kenal juga Rasulullah saw. Tahu juga sejarah perjuangan baginda. Tapi...

Takdela sampai nak jadi yang macam tu. Nak berpakaian serba putih dan berketayap setiap masa. Semua tu bukan sebab nak tunjuk alim ke apa. Tapi sebab kecintaan yang ada kepada Rasulullah saw yang menyebabkan diri terasa amat excited untuk berpenampilan seperti baginda saw.

Namun, yang lebih buat aku kagum lagi terhadap insan bernama Amer Munawer ni, beliau berjaya tarik beberapa dari ahli kumpulan V. E, Ruffedge dan Innuendo sekali bersama-samanya untuk berhijrah kepada diri yang lebih baik. Maka lahirlah kumpulan Al-Mawlid yang dianggotai oleh dirinya dan Azan Ruffedge, Lah dan Zaf V. E serta Pot Amir dari kumpulan Innuendo.

Terbaik kot. Dia bukan sahaja berubah untuk dirinya sendiri. Tapi, diajaknya bersama kawan-kawan sekumpulan yang sama-sama memperjuangkan lagu-lagu irama cinta keduniaan dulunya, terus kepada sebuah kumpulan yang memperjuangkan lagu-lagu irama cinta kepada Rasulullah saw. Ini baru benar orang beriman. Seperti sabda baginda saw, “Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.”

Apa yang saudara Amer buat memang bagi aku menggambarkan sabda Nabi saw tersebut. Dia berubah kerana dia mencintai dirinya. Dia tak mahu menzalimi dirinya. Dia mahu kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang Tuhan redhai. Kerana itu dia berubah. Berubah menjadi seorang hamba yang menebal cintanya kepada Rasulullah saw. Siapa mencintai kekasih Allah, semestinya dia juga mencintai Allah. Dia membuktikan sabda Nabi saw tersebut dengan mengajak pula geng-geng boyband yang dulunya tu untuk sama-sama berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Ini semua kerana dia sayangkan kawan-kawannya sama seperti dia sayangkan dirinya sendiri.

Tapi sayang juga, sebab masih ada beberapa ahli kumpulan Ruffedge dan V. E yang mungkin masih belum terbuka hati mereka untuk mengikut rentak hijrah Amer Munawer. Antara mereka adalah Cat Farish. Kalaulah Cat Farish pun tergerak hati nak join jugak grup mereka ni, syukur Alhamdulillah!





Aku pun add semua kelima-lima ahli kumpulan Al-Mawlid ni kat fesbuk. Ternyata, diorang memang betul-betul berubah. Status-status yang diorang tulis semuanya menggambarkan betapa dalamnya rasa cinta mereka kepada Rasulullah saw. Aku jadi seronok pula nak membacanya. Malah selalu diiklankan majlis-majlis selawat yang selalu mereka adakan.

Rupanya, Al Mawlid bukan ditubuhkan untuk menjadi sebuah grup nyanyian komersial. Tetapi, tujuan asalnya adalah untuk jadi sebuah grup yang memeriahkan majlis-majlis selawat yang diadakan. MasyaAllah, hebatnya!

Nak jadi cerita, last semester, Alhamdulillah universiti tempat aku belajar ni jemput grup Al-Mawlid untuk buat show di dataran salah sebuah kolej kediaman kat situ. Aku memang tak lepas peluang lah. Dulu, aku teringin sangat nak pergi mana-mana show kumpulan Ruffedge atau V. E. Tapi sekarang, aku berpeluang untuk datang ke show Ruffedge dan V. E, tapi dengan wajah dan imej mereka yang baru.

Bila aku datang je kat show tu, mulanya aku expect Al-Mawlid akan menyanyikan lagu-lagu nasyid biasa saja, rupanya mereka lebih banyak berqasidah dan berselawat memuji Rasulullah saw di atas pentas. Dari mula sampai habis. Seriously, keadaan tersebut mencabar keegoan aku sebagai seorang lelaki untuk tidak mengalirkan barang setitis pun air mata.

Memang hebat! Mereka semua berselawat dan berqasidah dengan penuh penghayatan. Dengan diselang-selikan dengan seruan demi seruan untuk mengajak semua yang hadir untuk mencintai Rasulullah saw dengan cinta yang sangat hebat. Merindui baginda saw, serta menghargai perjuangan baginda saw. Sehingga aku mampu merasakan bahawa kelahiran baginda saw itu adalah anugerah Tuhan paling indah untuk makhluk seluruh alam.

Paling buat aku tacing, bila Lah Ahmad perform secara solo, dia menyanyikan lagu yang diciptanya sendiri yang bertajuk ‘Yang Penuh Dosa’. Siap menangis-nangis lagi atas pentas. Lentur hati jantan gua ni, lentur!

Serius, aku jadi seronok dapat hadiri show yang macam tu. Sebab secara tak langsung aku sendiri pun terdorong untuk mengenal Nabi saw dengan lebih baik lantas mencuba untuk mencintai baginda saw. Di akhir show, saudara Amer ada inform yang every Friday diorang akan adakan majlis selawat yang seperti di show tu, malah lebih grand lagi di salah sebuah masjid di USJ nu. Im looking forward to that majlis. Cumanya, sampai sekarang aku tak jumpa-jumpa lagi masjid yang disebutkan tu. Diorang buat aku rindu nak berselawat bersama-sama dengan diorang lagi.

Tapi, takpe. Sebab diorang dah rekod satu lagu selawat yang amat best. ‘Cahaya Seluruh Alam’ tajuknya. Aku suka melodi selawat di dalamnya. Bila aku dengar lagu tu, mesti aku akan sama-sama ikut berselawat sekali. Seolah-olah aku pun turut sama di dalam majlis mereka. Bila dihayati maksudnya pula, sedikit sebanyak dapat menambah rasa rindu dan kasih kepada baginda saw.

Lagu ni aku putarkan di sepanjang hari Jumaat sebab ada sabda Nabi saw yang menceritakan fadhilat berselawat ke atas baginda pada hari Jumaat. Kerana lagu ni lidah aku terasa lembut untuk memperbanyakkan selawat, dan kerana itu jugalah yang menyebabkan sehingga ke hari ini, aku amat sukakan hari Jumaat. Sebab di hari Jumaat, aku mampu untuk berselawat ke atas baginda dengan sebanyak-banyaknya.



video



Aku yakin, ini semua berkat penghijrahan saudara Amer Munawer. Bila kita berhijrah ikhlas kerana Allah dan Rasul-Nya, Allah dan Rasul-Nya kita akan dapat, malah orang di sekeliling kita juga akan mendapat manfaat daripada penghijrahan kita itu.

Sungguh, saudara Amer Munawer benar-benar inspire aku untuk cuba sedaya upaya menjadi umat dan pencinta Nabi Muhammad saw yang setia.........

0 Komentar:

Post a Comment