Suatu malam Ramadhan tu, entah kenapa hati aku nie rasa macam nak menyendiri pulak. Lepas berbuka dan kemudian solat Maghrib, rasa maleh nak ikut satu family pergi masjid kat daerah aku ni bagi menunaikan solat terawih secara berjemaah seperti biasa diamalkan seperti malam-malam yang sebelumnya. Rasa macam nak buat kelainan sikit.
Dalam jam 8:30 tu dah kedengaran dah suara mak aku yang ala-ala Jaclyn Victor menjerit memanggil nama aku dari tingkat bawah untuk diajak pergi solat terawih bersama-sama satu family. Dengan penuh lemah longlai aku memulas tombol pintu bilik serta keluar dan turun ke tingkat bawah dengan penuh tidak bersemangat. Serius malam tu aku rasa macam nak menyendiri.
Melihatkan hampir semua ahli keluarga sudah siap sedia nak pergi ke masjid, yang lelakinya dengan baju melayu leher belut, yang mak aku pula siap dengan telekung yang dibelinya dari Jakarta dulu, rasa macam nak membatalkan la pulak niat aku yang yang mulanya iaitu nak menyendiri dari keluarga di malam itu.
Bila tinggal aku je yang masih tercegat di muka pintu sedangkan yang lain dah ada kat luar rumah, tetiba datang satu idea konspirasi penipuan terancang di dalam kepala hotak aku yang bertujuan untuk mengelakkan diri dari bersama dengan family di malam itu.
“Mak, pi dulu eh. Perut ni tetiba rasa lain macam la pulak. Banyak sangat makan berbuka tadi kot. Sat gi min pi sendiri ek.”
Abang dengan ayah selamba masuk ke dalam kereta pura-pura tak dengar. Mak pula menjeling tajam ke arah aku. Tampak benar beliau tak percaya langsung dengan alasan yang digunakan sejak aku darjah dua lagi itu untuk mengelakkan diri dari pergi terawih. Tapi, mungkin sebab Isya’ dah nak masuk kurang sepuluh minit lagi, terus mak aku menutup pintu rumah tanpa banyak soal jawab yang pastinya bakal menjahanamkan pelan konspirasi penipuan yang telah aku rancang itu.
Aku tunggu di ruang tamu sambil menjenguk-jenguk ke luar rumah. Usha tengok bila family aku semua nak berangkat pergi ke masjid. Setelah sudah pasti bahawa kereta sudah diundur keluar dari tempat parking, segera aku masuk ke bilik semula.
Keempukan tilam dan bantal di bilik tersebut benar-benar menguji keimanan aku yang sebenarnya memang dah maleh nak pergi terawih. Ingat nak Isya’ kat rumah seterusnya menuju terus ke alam mimpi.
Namun, bukan itulah pelan aku yang asalnya untuk menyendiri. Aku tetap mahu ke masjid, tapi bukan dengan family. Aku sekadar mahu menyendiri dari family di malam itu. Segera aku buka almari dan mencari-cari, kat mana kurta kaler biru yang sudah sekian lama aku tak pakai kerana kainnya yang hampir lusuh tu. Memang dah lama aku tak pakai. Ye lah, kalau pakai yang tue macam mana nak menarik perhatian muslimah-muslimah yang datang ke masjid atau mengambil hati tok Imam yang memiliki seorang anak dara yang cun-melecun.
Berbeza di malam itu. Teringin benar rasa hati ini untuk mengenakan kurta tersebut. Nasib baik jumpa nun jauh di suatu sudut yang agak horor kat dalam almari aku tu. Memandangkan Isya’ dah semakin dekat, segera aku sterika kurta tersebut dan ternyata selepas disterika, masih nampak elok juga kurta tersebut biarpun kainnya sudah lusuh. Atau mungkin kerana aku yang memakainya, tu yang nampak elok tu. Bak kata pepatah Amerika Latin, “Jantan kalau dah hensem, pakai apa pun elok.”
Segera aku meragut kunci kereta abang aku yang tersangkut di tempat menyangkut kunci itu lantas melompat masuk ke dalam kereta dari jarak seratus meter. Sambil melayan lagu rap nyanyian 50 Cent, aku tekan minyak kereta macam orang yang dah tak sayang nyawa. Ye lah, memandangkan perjalanan aku itu adalah untuk ke masjid, kalau jadi apa-apa pun kira oraitlah kan. Kalau perjalanan aku tu nak pergi buat perkara-perkara lagha, memang tak la aku nak bawak kereta macam tu.
Arah tuju aku adalah ke masjid yang di luar dari daerah aku. Sebenarnya, saja je aku nak berubah angin sikit malam tu. Dari first malam Ramadhan sampai la malam tu, asyik pergi solat kat tempat yang sama je. Teringin la jugak nak rasa suasana kat tempat lain. Memandangkan kelajuan kereta yang aku kenakan itu agak tidak munasabah, sepertimana Syamsul Yusof memandu kereta di dalam filem Evolusi KL Drift 2, tak sampai lima minit aku dah sampai ke masjid yang aku nak tuju biarpun jaraknya lebih 15 KM.
Seperti biasa, ambil wudhu’ dan bersedia untuk solat Isya’ secara berjemaah. Tok imam pun baca agak sedap juga kalau nak dibandingkan dengan budak tahfiz yang mengimami solat Terawih di tempat aku tu. Berbunga-bunga jiwa aku mendengarnya. Settle Isya’ terus bersiap untuk berterawih pula.
Yang bestnya tu, tok Imam masjid tu mengepalai solat terawih dalam keadaan yang rilek giler. Tak terkejar-kejar langsung. Bacaannya tertib. Jelas setiap huruf yang tersebut. Lunak pula tu. Tambah best lagi thama’ninah di setiap rukuk, i’tidal dan sujudnya cukup sempurna. Layan je jemaah nak ikut. Tak kalut dan sempat nak dibaca setiap bacaan di dalam rukun-rukun tersebut.
Aku memang tensen giler dengan sesetengah masjid yang imamnya solat terawih macam tengah sakit perut nak pergi jamban. Laju nak mampos. Al-Fatihah main sambung-sambung ikut suka hati, baca surah panjang-panjang tapi berterabur tajwid dan sebutan apa semua. Kebanyakannya adalah di tempat-tempat yang kononnya nak habiskan satu Quran dalam 30 hari Ramadhan
Tak kira thama’ninah lagi. Kekadang macam takde langsung. Makmum baru nak tunduk rukuk imam tak nyempat-nyempat nak bangun dah. Rilek-rilek udah la. Nama pun terawih. Tak silap aku maksud ‘terawih’ tu sendiri adalah ‘santai’. Nak santai pa kejadahnya solat kalut macam tu?
Namun, ada kelainan yang aku tak duga tentang terawih di masjid itu. Settle rakaat yang ke 4, terus tok imam tersebut bangun dan duduk di tempat duduk yang disediakan di sebelah mihrab masjid. Rupanya style masjid tu adalah selepas rakaat terawih yang ke 4, akan diadakan tazkirah yang bagi aku bukanlah tazkirah ringkas. Sebab makan setengah jam jugak lah. No wonder lah Imam solat rilek giler tadi, rupanya masjid tersebut cuma menunaikan terawih hanya sebanyak 8 rakaat. Orait gak la, aku nie pun dah lama tak dengar tazkirah dekat masjid.
Yang menariknya, entah macam mana nasib aku agak baik hari itu kerana penceramah merangkap tok Imam yang bertugas malam itu agak unik juga cara penyampaiannya. Jenis tak cakap berlapik punya orang gak tu sebenarnya. Bukanlah maksudnya dia cakap menggunakan bahasa-bahasa yang tak sesuai. Maksud aku, ustaz tu memang main sound direct je malam tu.
“Tuan-tuan ingat Tuhan tu pak menakan tuan-tuan ka? Suka-suka hati tuan-tuan nak peduli tak nak peduli. Waktu Ramadhan boleh datang imarah masjid ramai-ramai. Sampai jemaah lelaki nak lepas masuk saf jemaah perempuan. Awat di luar Ramadhan, satu saf pun tak boleh nak penuh? Awat Tuhan ada dan tengok tuan-tuan di bulan Ramadhan saja ka?”
Antara ucapan dari seribu satu ucapan sound directnya yang melekat kat dalam kepala hotak aku sampai sekarang.
Memang tak kasi can punyalah malam tu. Hampir semua jemaah termasuk aku sendiri tertunduk malu sambil menggeleng-gelengkan kepala tanda faham dan setuju dengan teguran-teguran ustaz tersebut. Beliau tak puas hati betul. Katanya, dia bertugas di masjid tersebut untuk menyampaikan pengajian, sebulan dua kali, tapi, bulan lain tak pernahnya ramai macam di bulan Ramadhan. Balik-balik muka Imam, bilal, tok siak dengan AJK masjid.
Kenapa hanya kerana solat terawih baru nak datang masjid? Kenapa Solat-solat fardhu lain cukup sekadar solat di rumah sahaja? Kenapa nak melebihkan solat terawih atas solat-solat fardhu? Padahal solat fardhu tu wajib, solat terawih sunat je. Dah jelas-jelas yang wajib lebih utama dari yang sunat. Nabi saw sendiri pun pernah solat terawih di rumah je. Solat fardhu semua buat di masjid. Tapi kenapa budaya setempat di sini waktu terawih penuh masjid, tapi bila waktu solat-solat fardhu yang lain terutamanya di luar Ramadhan, satu saf pun susah nak penuh.
Alasannya, sebab Ramadhan Tuhan janjikan pahala yang berlipat kali ganda. Lagi la ustaz tu angin. Gila dengan Tuhan pun nak berkira! Buat ibadat sebab ada ganjaran, bukan sebab nak kasih sayang Tuhan. Ok, memang tak salah mengharap ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, tapi kena ingat, still itu semua hak Tuhan nak beri atau tak.
Apa yang penting di dalam ibadat adalah hati yang ikhlas, bukan banyak atau sedikit ibadat yang kita buat. Kita tak boleh nak pasti langsung semua ibadat yang kita buat di dalam bulan Ramadhan atau hanya di dalam bulan Ramadhan, semua Tuhan nak terima. Tambahan pula ibadat yang hanya dibuat di bulan Ramadhan semata-mata, tapi di bulan lain memang tak buat langsung. Memang tak sure lah Tuhan nak terima. Nampak sangat kecacatan di dalam keihklasan kita beribadat.
Seorang hamba masuk ke syurga bukan sebab amalannya ok. Sebab yang utama untuk seorang hamba masuk ke syurga adalah dengan Rahmat dan kasih sayang Allah yang jauh lebih bernilai dari ganjaran pahala. Pahala tu diwujudkan sebagai pemangkin semangat kita untuk terus beribadat kepada-Nya, tapi kena ingat selalu, apa yang penting di dalam ibadat adalah keikhlasan beribadat untuk merebut Rahmat kasih-Nya.
Ingatla sikit siapa Tuhan siapa hamba. Yang nak berkira sangat dengan Tuhan tu kenapa? Dah la amalan tak ikhlas, dah tu berkira berkira pulak. Pulak tu, memang sah-sah la takkan pernah sempurna amal ibadat yang dibuat. Konfem banyak cacat celanya lah. Tue pun masih nak sombong dan berkira-kira dengan Tuhan.
Nak bahagia di Akhirat nanti bukan kerana amalan-amalan kita yang kononnya kita rasa dah banyak gila kita buat. Tapi yang paling utama adalah kerana Rahmat dan kasih Allah. Amalan-amalan yang kita disuruh buat tue adalah sebagai menjadi sebab untuk Allah beri rahmat-Nya pada kita.
*So, janganlah dok cipta alasan-alasan bodoh pulak kononnya taknak buat amal soleh sebab susah nak ikhlas.
Amal ibadat kena buat dan wajib buat, tapi, ingredient yang paling penting dan utama sekali di dalam ibadat tue adalah ikhlas mengharap redha Allah semata-mata. Pahala dan ganjaran tue serahkanlah kepada Allah untuk memberinya sebanyak yang Dia suka. Janganlah dengan Dia pun kita nak berkira-kira. Ingat sikit, kita nie HAMBA je. Dah lah hamba, hina pulak tu!
Ok, sebenarnya apa yang aku tulis nie adalah hasil formulasi idea yang aku dapat hasil dari tazkirah ustaz tu. Actually, aku lihat ceramah 30 minit tu lebih kepada peringatan dan teguran semata-mata.Serius aku malu gila dengar ceramah ustaz tu. Segala apa yang beliau kata semua kena atas kepala aku. Yang aku tulis nie antara yang dikatakannya lah.
Ia mengingatkan aku kepada peringatan yang pernah diberikan oleh salah seorang kenalan di Facebook pada salah satu statusnya sehari dua sebelum bermulanya Ramadhan hari tu.
“Usahalah jadi hamba Tuhan di bulan Ramadhan, jangan jadi hamba kepada Ramadhan semata-mata...”
0 Komentar:
Post a Comment