Smart Comparison...

Jan 13, 2010

Dulu, masa zaman Friendster tengah naik, aku adalah di antara remaja akhir zaman yang gila dengannya. Sanggup aku berulang-alik dari rumah nak ke cyber café semata-mata nak appear online dalam Friendster masa tu. Nak buat macam mana, internet pun tak subscribed masuk rumah lagi. Bukan main jauh cyber café dengan rumah aku, tapi, Friendster punya pasal aku buat tak kisah ja. Gila betul. Benda-benda social network ni memang ada aura tesendiri la. Betul-betul buat kepala otak aku jadi gian.

Itu dulu la, sekarang nie mana main Friendster dah. Semua orang layan Facebook. Friendster tu kira out-dated kata orang. Kalau tak, takkan la aku kena gelak besar ngan member-member aku kat ipt ni bila aku sebut pasal Friendster. Kata diorang, “Friendster tu zaman bila punya teknologi? Sekarang ni orang main Facebook laa.” Sikit punya malu aku dibuatnya. Jadi, tanpa melengahkan masa, terus aku delete je account Friendster aku tu.

Dalam Friendster tu, ada satu ruangan discussion. Discussion untuk group. Sesapa yang pernah join Friendster dulu rasanya tau la kot benda-benda nie semua. Aku ada join satu group ni. Group yang lebih kurang Islamik la adanya. Semua group members hanya akan bukak topik perbincangan yang bertemakan persoalan atau pendapat berkenaan hal-ehwal Islam masa kini je. Kekadang aku bukak la jugak main board group tu bila group Chelsea FC dengan group Sekolah aku tak bincang apa-apa topik yang menarik. Sampai la satu hari tu, aku bukak discussion board group tu, seorang hamba Allah ni telah bukak satu tajuk untuk dibincangkan yang mana kesan daripada tindakannya itu, persepsi di dalam minda aku telah berubah.

Budak tu kata yang dia rasa amat tak senang hati dengan posisi dia sebagai remaja Muslim di dalam komuniti masyarakat Muslim hari ni. Kenapa? Sebabnya, dia kata dia mampu melaksanakan tanggngjawab dirinya sebagai Muslim, iaitu Solat, dengan sempurna. Tak pernah miss langsung lima waktu sehari semalam. Yang jadi masalahnya, jarang sangat-sangat dia dapat merasakan kelazatan Solat tue sendiri.

Yelah, apa guna dok penat-penat rukuk sujud tiap-tiap hari tapi tak dapat merasakan kemanisan amalan-amalan tu semua. Bimbang lama-lama boleh jadi jemu. Ha, bila jemu pun datang, nie la masa yang paling sesuai setan nak ambik port. Setan suka sangat la bila rasa jemu tu dah timbul dalam hati hamba yang beribadah, senang sikit kerja dia nak mencilok.

Hmm, rasa macam kena atas kepala aku je benda-benda yang budak tu luahkan, bab nak khusyu’ dalam solat ni, payah giler bagi aku. Mintak sangat jangan didatangkan rasa jemu tu.

Selang beberapa hari lepas tu, tiba-tiba posted satu comment dari seorang lagi hamba Allah ni terhadap topic yang dibukak oleh budak tadi. Katanya, jangan lah sedih. At least kita masih jaga solat. Kelazatan tu memang susah nak digapai, sekurang-kurangnya kita masih menjaga Solat tu. Bandingkanlah diri dengan rakan-rakan seMuslim yang tak menjaga Solat, ataupun yang tak solat langsung. Kita patut rasa bertuah yang kita masih tahu nak angkat takbir bila masuk dalam waktunya.

Betul jugak ek fikirku. At least aku masih menjaga Solat. Solat tu tiang agama. Benda paling utama dalam agama Islam. As long as Solat kita mampu jaga, walaupun tak sempurna dengan tak khusyu’nya, dengan cacat celanya yang pelbagai, kita nie masih dikira orang yang sedar akan tanggungjawab tersebut jugak. Okey la tuuu!!!

Sebaik sahaja comment tersebut posted, berlakulah perdebatan yang agak kompleks berkenaan dengan topik ni. Point berkenaan comparison dengan orang yang tak menjaga Solat tue yang menjadikan topik ni debatable. Sebahagian daripada group member tidak bersetuju dengan cara comparison itu dibuat manakala sebahagian yang lain bersetuju. Hasil dari pembacaan aku pada discussion tu, aku rasa, aku lebih terarah untuk menyokong kelompok yang tidak bersetuju. Kenapa?

Pointnya begini. Tak salah kita nak compare diri kita dengan orang lain. Dalam macam-macam hal sekalipun, memang takde masalah kita nak compare diri kita dengan orang lain. Dan memang antara sikap manusia juga adalah suka membandingkan keadaan hidup diri sendiri dengan keadaan hidup orang lain. Takda masalah pun sebab dari sikap ni juga manusia boleh bertindak untuk mengubah cara hidupnya atau gaya hidupnya ke arah yang lebih baik.

Dalam hal ibadah pun tak salah nak membandingkan standard ibadah kita dengan orang lain. Cuma, mestilah kena pada caranya. Cara perbandingan yang disarankan oleh group member yang tadi ni boleh dikatakan salah lah dari segi etika sebagai hamba yang beriman. Membandingkan diri dengan orang lain yang lalai pada perintah Allah sehingga timbul rasa lega dengan amal ibadah sendiri bukannya sikap orang yang beriman. Orang beriman tak pernah rasa puas hati dan lega dengan amal ibadah yang dilakukan. Sentiasa terasa di dalam dirinya yang ibadahnya itu sentiasa ada cacat cela.

Persoalannya, mereka orang yang beriman, tetapi mengapa mereka sentiasa merasakan ibadah mereka tidak sempurna? Sebabnya, mereka juga membandingkan amal ibadah mereka dengan orang lain, tetapi, perbandingan itu dibuat dengan membandingkan amal ibadah mereka itu dengan amal-amal ibadat hamba-hamba Allah yang lain yang lebih tinggi darjatnya. Mereka membandingkan amal ibadat mereka dengan para mujaddid, ahli sufi, wali Allah, para sahabat dan semestinya mereka pasti akan merasa kalah dengan amal ibadat hamba Allah yang paling utama iaitu Muhammad saw.

Dengan perbandingan yang mereka ilhamkan inilah yang telah menimbulkan keazaman yang tinggi di dalam jiwa mereka untuk sentiasa memperbaiki dan meng‘upgrade’kan lagi standard ibadah mereka. Sebab mereka takkan senang hati dengan amal ibadah yang tak sama dengan amal ibadah hamba-hamba Allah yang lain yang mana mereka tu semua dah dijanjikan syurga. Dari situ mereka akan selalu koreksi akan diri mereka dan selalu bermuhasabah untuk menjadi yang lebi baik.



Mereka tak akan membandingkan amal ibadat mereka dengan amal ibadat hamba-hamba Allah yang tidak taat serta selalu melanggar syariat Tuhan. Dan adalah sesuatu yang kejam untuk merasakan amalan diri sendiri adalah lebih baik dari amalan orang lain yang sudah jelas tersesat dari jalan-Nya. Itu bukan sikap orang yang beriman. Mereka tak memandang rendah akan manusia yang tidak taat. Akan tetapi, mereka memandang manusia yang sedemikian dengan pandangan yang penuh dengan belas kasihan. Belas kasihan kerana mereka tahu gaya hidup manusia yang tidak taat itu akhirnya akan membawa kerugian yang besar ke atas manusia itu sendiri dan manusia itu tidak menyedarinya.

Jadi, orang yang beriman memandang manusia yang tidak taat itu dengan penuh keazaman untuk merubah mereka untuk kembali ke jalan Allah dan ikut serta bersamanya bermujahadah dan berjuang hidup di atas muka bumi ini sebagai hamba yang patuh kepada Tuhannya. Inilah cara orang yang beriman membandingkan dirinya dengan orang lain. Di dalam hal ibadah, mereka tak akan membandingkan diri mereka dengan orang-orang yang fasik, derhaka, tidak taat dan sebagainya. Sebaliknya, mereka akan membandingkan amal ibadahnya dengan orang yang lebih tinggi darjatnya agar amal ibadahnya akan sentiasa dapat diperbaiki sambil dapat mengelakkan rasa lega dengan amal yang sudah dilakukan.

Sebenarnya, tak salah untuk membandingkan diri dengan orang yang lebih rendah martabatnya dari kita. Cuma, cara itu mesti kena pada tempatnya terutamanya di dalam soal dunia. Sebagai contoh, aku kerja sebagai seorang kerani biasa di dalam sebuah pejabat kerajaan. Gaya hidup aku mesti la tak mewah, biasa-biasa je, tak ada apa-apa yang nak dibanggakan pun kalau bekerja sebaga kerani biasa sahaja.

Kalau aku bandingkan diri aku dengan bos aku, mesti aku akan sentiasa rasa tak senang duduk. Ye lah, orang tua tu pakai Mercedes, aku pakai Kancil je, dia duduk rumah banglo mewah, aku duduk rumah teres setingkat je, dia boleh pegi melancong sana sini, aku ni paling kuat pun berkelah kat sungai belakang rumah je. So, jiwa akan selalu jadi tak tenang memikirkan nasib diri yang tak sebertuah bos aku tu. Akhirnya, tekanan hidup pun jadi kuat. Mulalah aku akan jadi tak ketahuan, salahkan takdir dan sebagainya.

Cuba pulak aku bandingkan diri aku dengan makcik cleaner pejabat tu. Aku boleh jugak pakai Kancil, makcik tu naik bas je, aku boleh jugak duduk rumah teres, makcik tu tinggal kat rumah setinggan je. Dari situ terdidiklah jiwa aku untuk tetap bersyukur biarpun hidup aku tak semewah mana. Sebab aku sedar ada lagi hamba Allah di atas muka bumi ni yang lebih tak bernasib baik. So, aku tetap dapat menjalani hidup dengan tenang biarpun hidup aku hanya sederhana.

Jelas betapa bergunanya perbandingan yang wujud itu. Membandingkan diri dengan orang yang lebih rendah martabatnya juga adakalanya boleh mendatangkan faedah kepada diri kita.

Konklusinya, dalam hal berkaitan urusan Akhirat, bandingkanlah diri kita dengan hamba Allah yang lebih tinggi martabatnya, di situ letaknya kunci mujahadah. Manakala dalam hal berkaitan urusan dunia, bandingkanlah diri kita dengan hamba Allah yang lebih rendah martabatnya, di situ letaknya kunci sabar dan bersyukur. Namun awas! Di situ jua terdapat kunci kesombongan. Jadi, bijakkanlah diri di dalam mentafsir perbandingan itu………


0 Komentar:

Post a Comment