Suatu hari tu, aku membuat keputusan untuk mengambil cuti, kerana minggu-minggu sebelumnnya sibuk memanjang. Pada pagi itu, isteriku bekerja dan anak-anak yang dah bersekolah perlu ke sekolah. Cuma tinggal Ammar, anak yg bungsu yg berumur 2 tahun.
Pagi tu agak sunyi kerana tiada riuh-pikuk anak-anak lain. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk membuat sedikit kerja yang masih tertunggak sekian lama. Setengah jam kemudian, kedengaran bunyi Ammar naik ke atas dan dia terus ke bilik studiku. Dia terus berdiri di sisi kakiku sambil meletakkan mukanya di pahaku.
Aku merasa sedikit terganggu, maklumlah tengah membuat kerja komputer yang memerlukan konsentrasi yang tinggi.
"Ammar, pergilah bawah dengan bibik! ok?""Tak nak!. Tak nak!". jeritnya."Ammar pergilah bawah, Abi nak buat kerja nie!!""Tak nak! tak nak!", katanya sambil meraung" Ammar pergilah bawah, Abi nak buat kerja nie!!! " jeritku sedikit marah."Tak nak! Tak nak!" katanya sambil memeluk erat kakiku, aku cuba melepaskan tangannya yg kecil tu.
Akhirnya, kupanggil bibik untuk mengambilnya. Menangis-nangis dia sambil tetap memegang kakiku ketika ditarik oleh bibik. Membentak aku dalam hati, "mengganggu je nak membuat kerja".
Ketika aku membuat kerja, terdengar bunyi bibik memujuknya yang terjerit-jerit. Dibuatkan susu, ajak bermain pun tak nak. Akhirnya terdengar bunyi dia dimandikan, dan dipakaikan pakaian sambil terjerit-jerit melawan bibik yang terus cuba memujuknya. Sepanjang masa tu, aku cuma membuat kerja sambil sekali-sekala terdengar bunyi dibawah.
Akhirnya terdengar bunyi kaki kecilnya naik ke atas menangis teresak-esak sambil diekori oleh bibik. Dia mengetuk-ngetuk bilik studiku dengan tangannya yang kecil. Dengan rasa sedikit menyampah, aku menyuruh bibik membuka pintu.
Terpacullah mukanya yang merah mengalirkan air mata sambil teresak-esak memegang botol susu dan bantal kecilnya. Tanpa berkata apa-apa, diapun terus meletakkan bantal kecilnya dan terus baring menghisap botol susunya dihujung kakiku. Bunyi teresak-esaknya masih kedengaran namun semakin berkurang.
Sambil menghisap susunya, tangannya memegang hujung jari kakiku. Aku biarkan sahaja sambil terus mengadap monitor komputer. Tak lama selepas itu, sesuatu terdetik di hatiku, Kulihat wajah Ammar, "tertidur rupanya". Sebelah tangannya memegang botol susu dan sebelah lagi memegang hujung kakiku. "Rupa-rupanya dia nak aku baring dan memeluknya semasa dia menghisap susu botol'," bisik hati kecilku.
Akhirnya, kututup monitor notebook, dan mengangkatnya. Dia tersedar sekejap tapi bila nampak abinya yang mengangkat dia, terus meletakkan kepalanya di bahuku. Lepas tu, kubawa dia ke bilik dan terus baring disisinya sambil mengusap-ngusap rambutnya. Damai nampak mukanya sambil terus tertidur didalam pelukanku.
Sambil mengusap-ngusap rambutnya, aku berkata dalam hati, "maafkan abi Ammar, abi tak faham Ammar dahagakan kasih sayang abi". Ketika itu, bergenang rasanya mata. Akhirnya,akupun tertidur di sebelahnya.
Teringat saya kisah Raja Melaka yang mahu mengahwini puteri gunung ledang. Diberikan syarat jambatan emas, tujuh dulang hati nyamuk dan lain-lain. Semuanya mampu diberikan kecuali satu, iaitu semangkuk darah puteranya. Ini kerana Sultan Melaka tidak mampu untuk melukakan puteranya untuk mengambil darahnya.
Tetapi, bayangkan kita sekarang. Sudah ramai ibubapa yg sanggup melukakan anaknya kerana sebuah cita-cita ataupun karier mereka. Bukannya melukakan kulit mereka seperti Sultan Melaka, tetapi melukakan hati-hati mereka. Bukannya disengajakan, tetapi tidak disengajakan kerana tekanan tempat kerja, deadline yang perlu dikejar dan pelbagai alasan yang tidak berasas.
Mungkin ada yang memberikan alasan untuk memberikan kehidupan yg terbaik untuk anak-anak, tetapi adakah dengan melukakan hati mereka? Anak-anak yang tidak berdosa, cuma menyepi dan terus terbiar. Maka ibubapa sebenar mereka bukannya mereka yg dipanggil ibu/bapa/mama/abi/ummi, tetapi insan-insan yang dinamakan bibik/orang gaji.
Anak-anak yang berumur terutamanya di bawah 7 tahun memerlukan kasih sayang, yang berumur sekolah rendah perlu diberikan bimbingan dan disiplin, yang berumur remaja baru memerlukan belanja yang banyak dan apabila mereka masuk ke universiti baru mereka memerlukan belanja yg cukup besar. Tetapi kenapa kita sanggup mengorbankan 18 tahun pertama mereka semata-mata untuk memberikan mereka kesenangan?
Anak-anak kecil tidak memerlukan kereta besar dan selesa, mainan PSP/PS2, pakaian yang mahal-mahal dan selesa, mainan yang mahal dan canggih....Mereka hanya perlukan pelukan lembut ibubapanya yang penuh mesra dan perhatian sewajarnya dari insan bernama ibu/bapa.
Dr. Khairol Jambli, Anak-Anakku Bukan Anak-Anakku, www.iLuvislam.
Adzmi b. Ariffin.
“Your Love,
I’m asking God, for always giving you the happiness,
An eternal happiness… Amin.”
0 Komentar:
Post a Comment