Sunnah Orang Berjuang...

Oct 31, 2009


KUALA LUMPUR: Isteri, anak dan rakan kumpulan Rabbani sering bermimpi ketua kumpulan mereka, Allahyarham Ustaz Asri pulang ke rumah.

Setiap kali Allahyarham Asri pulang, suasana di dalam rumahnya terang-benderang, walaupun rumah lain berdekatannya gelap-gelita seolah-olah tidak berpenghuni.

Isteri Allahyarham, Halizah Shahdan, 39, berkata selepas suaminya meninggal dunia, dia bermimpi tiga kali berjumpa Allahyarham.

“Setiap kali jumpa Allahyarham sentiasa pakai jubah dan berkopiah putih,” katanya ketika dihubungi.

Di sisi Allahyarham


Antara mimpi paling mengharukannya, kata Halizah, dia melihat suaminya sedang membaca Al-Quran di surau di dalam rumahnya dengan suara cukup nyaring.

Katanya, ketika Allahyarham Asri membaca Al-Quran secara tiba-tiba segenap penjuru rumahnya terang-benderang seolah-olah di waktu siang.

“Apa yang pelik, rumah berdekatan pula gelap-gelita, seolah-olah tidak berpenghuni,” katanya.

Keesokannya, Halizah menceritakan mimpi tersebut kepada ahli keluarga dan mereka menangis kerana terharu dengam peristiwa dalam mimpinya itu.

Ibu kepada enam anak itu juga bermimpi berjumpa suaminya di Masjid Nabawi, Madinah.

“Wajahnya kelihatan sungguh cantik sekali, berbeza ketika dia masih hidup.

Kecantikan wajahnya cukup luar biasa , tidak dapat saya bayangkan ketika itu,” katanya.

Dalam pertemuan itu, kata Halizah, Allahyarham membawanya melihat persembahannya yang diiringi penyanyi latar sebuah kumpulan nasyid dari luar negara.

Pada ketika lain pula, Halizah bermimpi Ustaz Asri pulang menjenguk dia dan anak-anak di rumah.

Halizah berkata, walaupun sekadar bertemu arwah suami di alam mimpi, namun ia memberi impak besar kerana ia dapat mengubati kerinduannya terhadap suami tercinta.

Selain Halizah, anak-anaknya juga turut bermimpi menemui ayah mereka beberapa kali datang menjenguk mereka.

Sementara itu, anggota kumpulan Rabbani paling kanan, Azadan Abdul Aziz berkata, selepas Allahyarham Asri dikebumikan, dia bermimpi tiga malam berturut-turut berjumpa dengannya.

Allahyarham di samping Ahmad Shafie dan Azadan


Katanya, selepas hari pengebumian dia bermimpi Allahyarham datang menemuinya dan rakan-rakan di sebuah rumah.

“Mimpi saya ini sama seperti mimpi isteri Allahyarham. Sebaik sahaja kehadirannya, rumah tempat kami berkumpul itu bertukar terang-benderang.

Allahyarham berdiri berhampiran kami dan meminta saya sediakan sepasang jubah warna putih sama dengan jubah kami pakai,” katanya.

Pada malam kedua, Azadan bermimpi bersama ahli kumpulan Rabbani berjanji berjumpa Allahyarham pada satu tempat untuk mengadakan persembahan dan apa yang mengejutkan, Allahyarham datang lebih awal daripada mereka.

“Sikap Allahyarham dalam mimpi itu sama seperti ketika Allahyarham masih hidup. Jika ada persembahan dia paling awal datang,” katanya.

Malam berikutnya, Azadan bermimpi menyeberangi sungai sambil diperhatikan oleh Allahyarham.

“Ketika berenang, Allahyarham memberi sokongan kepada saya, akhirnya saya berjaya melepasi halangan itu,” katanya.

Allahyarham Asri meninggal dunia pada 13 Ogos lalu akibat serangan penyakit jantung dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

Azadan yakin mimpi beliau dan isteri Allahyarham itu memberi petanda cukup baik kepada kehidupan Ustaz Asri di alam kubur.

“Semasa hayatnya Allahyarham memang terkenal dengan sikap warak dan bepekerti mulia.

“Apatah lagi, sebelum menghembuskan nafas terakhir Allahyarham sempat meminta sebuah Quran untuk dibaca,” katanya.

Reaksi Ulama’

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama menyifatkan mimpi Allahyarham Asri Ibrahim pulang membaca Al-Quran memberi petunjuk ketua kumpulan Rabbani itu berada di tempat yang baik di alam barzakh.

Walaupun ia sekadar mimpi, namun jika si mati seorang yang warak ketika hidupnya dan banyak melakukan amal kebaikan tidak mustahil ia di dalam peliharaan Allah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tidak mustahil mimpi keluarga dan rakan Allahyarham Asri itu memberi gambaran yang elok mengenai kehidupannya di alam kubur dan di Akhirat kelak.

“Lagipun semua orang tahu semasa hidupnya Allahyarham seorang yang warak, sudah tentu kehidupannya di Akhirat kelak mendapat pembalasan setimpal daripada Allah,” katanya.

Tan Sri Harussani Zakaria


Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talip berkata, alamat baik itu ditunjukkan Allah kepada keluarga dan rakan rapatnya dalam mimpi itu untuk menggambarkan ketika hayatnya Allahyarham taat perintah Allah.

Dengan peribadinya yang mulia dan warak, beliau yakin kehidupan Allahyarham Asri di Akhirat kelak mendapat Rahmat dan kemungkinan terpilih menjadi ahli syurga.

“Sungguhpun begitu, pada masa sama keluarga dan sahabat handai perlu sentiasa berdoa dan menghadiahkan ayat suci Al-Quran supaya Allah mengampunkan dosanya dan ditingkatkan kedudukan di dalam syurga kelak,” katanya.

Tan Sri Abdul Kader Talip


Penceramah agama, Ustaz Datuk Mohd Daud Che Ngah juga percaya mimpi baik yang diterima oleh keluarga dan sahabat Allahyarham itu memberi perkhabaran yang baik tentang kehidupannya di alam barzakh.

“Kalau sudah ada petunjuk yang baik, tidak mustahil Allahyarham Asri akan dipelihara Allah, apatah lagi dia seorang yang warak.

“Bagi memastikan Allahyarham berada di tempat yang baik di sisi Allah, ahli keluarga dan rakan-rakan rapatnya perlu sentiasa mendoakan kesejahteraannya,” katanya.

Seorang lagi pendakwah terkenal, Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz berkata, walaupun ia sekadar mimpi tetapi jika perkara baik tidak salah mempercayai.


Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz

“Syurga dan neraka seseorang itu hanya Allah saja yang mengetahuinya.

“Bagaimanapun jika lihat kehidupan Allahyarham ketika masih hidup, tidak mustahil dia mendapat balasan baik daripada Allah,” katanya.



M Rozi Hasan, Perdana, 8 Nov 2009

0 Komentar:

Post a Comment