Bila pandai menggunakan segala nikmat Ilahi,
Sebagai tanda nikmat-nikmat itu disyukuri,
Lantas hidup bahagia dalam lindungan Tuhan Rabbul Izzati.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan mata,
Diguna untuk melihat yang baik-baik saja,
Melihat apa yang diizinkan Tuhan,
Menutupinya pula dari apa yang dilarang,
Tiada istilah pandangan kedua,
Kalau boleh pandangan yang pertama pun tiada,
Tidak meliar terbiar bagai singa gila yang lapar,
Ia tidak pula ditakuti oleh mereka yang cuba menjaga kehormatan diri.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan lidah,
Diguna untuk bercakap yang baik-baik saja,
Apa yang ditutur semuanya yang cantik dan indah belaka,
Yang membuat damai hati orang yang mendengarnya,
Umpat, fitnah, mencaci, menghina dan mencela pula tiada,
Basahnya pula kerana menyebut nama-nama Tuhan Yang Terindah,
Mengalun kalam Tuhan serta mendoakan sejahtera buat kekasih Tuhan.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan telinga,
Diguna untuk mendengar yang baik-baik saja,
Segala input yang datang dijaga dan dipelihara,
Rumor dan khabar-khabar angin tidak menjadi perhatiannya,
Alunan zikir, selawat dan lantunan Al-Quran menjadi input utama,
Dendangan alatan muzik pula sedang-sedang sahaja,
Atau tiada langsung minat padanya.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan tangan,
Diguna untuk bekerja pada perkara yang baik-baik saja,
Cekap ia dalam menyegera yang ma'ruf,
Dan pantas pula mencegah yang mungkar,
Tak usah pada orang lain, untuk diri sendiri juga,
Tangan itu menolak dirinya dari melakukan kejahatan.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan kaki,
Diguna untuk membawa jasad ke tempat yang baik-baik saja,
Kaki itu jadi kenderaan ke tempat-tempat yang disukai Tuhan,
Kaki itu berhenti kaku bila terniat hendak ke tempat yang penuh dengan syaitan,
Kaki itu membawa jasad ke mana sahaja tempat di dunia,
Yang ada redha Tuhan padanya.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan akal,
Apa yang difikir semua yang baik-baik saja,
Apa sahaja yang terlintas semuanya terpandu pada asas utama,
Asas Al-Quran dan Sunnah,
Apa sahaja idea dan pemikiran yang datang semua pandai ditapis,
Pemikiran yang kotor dan jelek mudah pula dibuang,
Kerana tahu kuasa Tuhannya yang mudah saja membaca yang jelas dan nyata,
Rasa takut dan malu pada Tuhan itu menjadi penambah rasa,
Menghapus pemikiran-pemikiran yang tidak sepatutnya.
Indahnya hidup ini,
Bila pandai menggunakan hati,
Ilham yang tercetus dari hati itu semua yang baik-baik saja,
Ujub, riya, hasad, dengki, iri, takbur hampir tiada,
Kalau datang secara tiba-tiba pun segera dapat dibuang jauh,
Pujukan nafsu pula dapat dilawan,
Bisikan syaitan pun tiada dilayan,
Difikir, dikumpul segala kekuatan jiwa untuk melawan,
Agar tidak sampai kepada murka Tuhan,
Yakin dan percaya pada keesaan dan kebesaran Tuhan pula luar biasa,
Tiada syak, penuh percaya,
Yakin dengan sepenuh jiwa,
Takkan ada yang mampu mematah atau menduga keyakinannya,
pada Tuhannya.
Bila pandai mengguna segala nikmat Ilahi,
Tuhan bantulah aku menjaga diri,
Menjadi hamba yang selalu Kau redhai,
Mempersiap menjadi lelaki yang baik,
Malah menjadi suami yang pandai mendidik anak dan isteri,
Amin...Ya Rabbal A'lamin...
0 Komentar:
Post a Comment