
Poligami secara literalnya bermaksud, seseorang itu dibenarkan untuk memiliki lebih dari seorang pasangan hidup dalam satu-satu masa yang sama. Poligami itu sendiri terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang pertama poligini yang bermaksud seseorang lelaki yang memiliki lebih dari seorang isteri manakala yang keduanya adalah poliandri iaitu seseorang wanita itu memiliki lebih dari seorang suami. Namun, poligami yang difahami oleh masyarakat kita pada hari ini lebih kepada definisi poligini.
Umumnya, hanya agama Islam sahaja yang membenarkan poligami. Ini menerusi ayat al-Quran di dalam surah an-Nisa’ ayat ketiga yang membenarkan seseorang lelaki untuk mengamalkan poligami tetapi terhad kepada empat orang isteri sahaja pada satu-satu masa. Agama Kristian sama sekali tidak membenarkan poligami. Bagi yang berbangsa Cina dan India yang bukan beragama Islam di negara ini pula, poligami adalah tidak dibenarkan sama sekali menerusi akta Law Reform Act 1976.
Pertamanya, mari kita lihat apa yang hendak dituntut melalui poligami ini. Jika dirujuk kembali pada surah an-Nisa’ ayat ketiga, bahagian yang membicarakan soal poligami mengatakan bahawa kahwinilah wanita yang kamu sukai; dua, tiga atau empat orang, tetapi kalau kamu khuatir tidak mampu untuk berlaku adil untuk mereka, kahwini seorang sahaja. Menerusi ayat tersebut, dapatlah kita fahami bahawa apa yang dituntut melalui poligami adalah keadilan, itu syarat utamanya.
Seandainya seseorang lelaki itu khuatir dia tidak mampu untuk berlaku adil kalau dia memiliki lebih daripada seorang isteri, maka cukuplah baginya akan seorang isteri. Keadilan di dalam poligami itu luas ruang lingkupnya. Bukan sekadar mencakupi soal makan pakai dan tempat tinggal semata-mata. Malahan, ia lebih terarah kepada didikan si suami, kasih sayangnya, tanggungjawab dan sebagainya.
Yang keduanya, tujuan atau tuntutan asal poligami di dalam Islam iaitu adalah untuk membela nasib kaum wanita. Tuntutan ini lebih tertumpu kepada golongan-golongan ibu tunggal, balu, wanita yang tidak bersuami biarpun umur semakin meningkat (anak dara tua), wanita yang tidak mampu melahirkan anak dan sebagainya.
Seterusnya, mari kita lihat pula soal kemampuan di dalam isu poligami ini. Seperti yang dikatakan tentang keadilan sebentar tadi, kemampuan juga tidak bermaksud sekadar memenuhi tuntutan material semata-mata. Seseorang itu belum cukup dikatakan mampu untuk berpoligami jika dia sekadar mampu untuk memenuhi semua keperluan lahiriah isteri-isteri dan anak-anaknya sahaja. Ianya termasuk dari segi keperluan tempat tinggal, makan dan minum, wang ringgit dan sebagainya.
Apa yang paling penting sekali adalah didikan dan perhatian terhadap semua isteri dan anak-anaknya. Itu jugalah yang menjadi tunjang utama kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Di dalam Islam, seorang suami itu selaku ketua keluarga perlulah faham akan konsep perkahwinan itu sendiri agar dia mampu mendidik dan mengasuh isteri dan anak-anaknya dengan baik. Mendidik dengan Iman dan Taqwa, penuh berhikmah serta bijak menangani segala masalah yang bakal dihadapi di dalam melayari bahtera perkahwinan.Akhlak dan Ibadah anak-anak dan isteri diperhatikan dengan penuh ketilitian dan disiplin agar keluarga yang dibentuk itu menjadi syurga yang indah di dunia ini.
Jika itu tak mampu dilakukan oleh si suami biarpun kepada seorang isteri, mana mungkin dia mampu melakukannya jika dia berpoligami. Akhlak isteri dan anak-anak diabaikan serta langsung tidak dipedulikan. Salah silap mereka dibiarkan. Isteri dibiarkan suka mengumpat, atau berhias-hias untuk lelaki yang tidak berhak, anak-anak dibiarkan bergaul bebas, melepak sehingga lewat malam, arak, pergaulan bebas dan sebagainya. Semuanya itu dibiarkan. Kalau ditegur pun, cara yang kasar dan tidak berhikmah yang digunakan.
Ibadah mereka apatah lagi. Biar si suami itu orang masjid sekalipun, tetapi kalau solat puasa anak-anak dan isteri tidak langsung dipedulikan, dia masih tetap digelar sebagai suami yang dayus. Ini menunjukkan bahawa si suami tidak layak untuk mengepalai bahtera sebuah perkahwinan. Kerana menjadi kepala keluarga itu bukan perkara yang remeh atau enteng. Ianya suatu tanggungjawab yang amat berat dan besar. Bukan sekadar mampu untuk memenuhi keperluan material keluarga semata-mata.
Kalau ini tak mampu dipenuhi oleh seseorang suami terhadap isteri yang seorang, apatah lagi kepada dua, tiga atau empat isteri. Semakin huru-hara institusi keluarga yang dibinanya itu jadinya. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa kemampuan suami untuk berpoligami ini merupakan suatu aspek yang amat penting di dalam memastikan bahawa institusi keluarga yang dibina tetap berada di dalam keadaan yang baik biarpun kasih sayangnya dibahagikan kepada lebih daripada seorang isteri.
Kemudiannya, mari kita lihat suasana masa kini di dalam membicarakan soal isu poligami ini. Isu poligami ini rata-rata menjadi suatu isu yang agak sensitif di Malaysia ini terutamanya bagi kaum wanita. Kebanyakan mereka sudah sebati dengan prinsip bahawa kasih sayang si suami terhadap mereka tidak boleh dikongsikan bersama orang lain.
Sehinggakan bagi sesetengah golongan wanita, ada yang berpendapat bahawa poligami tidak sepatutnya dibenarkan untuk dipraktikkan. Ini sama sekali menyimpang dari ajaran Islam itu sendiri yang mana amatlah menjadi suatu kesalahan untuk mengharamkan sesuatu perkara yang telah dibenarkan di dalam Agama.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menuding jari kepada sebelah pihak sahaja di dalam isu ini. Tidak dapat dinafikan bahawa pihak lelaki yang lebih berhak untuk dipersalahkan di dalam hal ini. Kita dapat lihat apa yang dipraktikkan oleh masyarakat di dalam berpoligami ini, rata-ratanya bukan mahu menyempurnakan tuntutan-tuntutan poligami yang sebenar seperti yang dibincangkan sebentar tadi. Kebanyakannya hanya mahu melempiaskan hawa nafsu yang tidak pernah-pernah puas terhadap perkahwinan semata-mata.
Hasilnya, istitusi kekeluargaan jadi porak-peranda, penceraian berlaku di sana-sini, berlaku perebutan harta, hak jagaan anak dan sebagainya. Ini yang menyebabkan poligami tampak negatif di mata masyarakat. Padahal, objektif sebenar poligami adalah untuk membentuk suatu masyarakat yang lebih berkualiti dan seimbang. Namun, bila ia dilaksanakan oleh orang yang tidak berhak, dengan niat yang salah, serta jalan yang merosakkan, poligami tidak dapat mencapai matlamatnya yang sebenar.
Namun, perlu diingatkan, bukan prinsip poligami yang harus dipersalahkan, orang yang melaksanakannya yang harus dipersalahkan. Seperti si pembunuh menikam mangsa menggunakan pisau. Bukan pisau itu yang bersalah, kerna pisau dicipta bukan bertujuan untuk membunuh orang, tetapi si pembunuh itu yang harus dipersalahkan.
0 Komentar:
Post a Comment